Shahidan Cadang Kerajaan Lantik Pembangkang Jadi Timbalan Speaker

Shahidan Cadang Kerajaan Lantik Pembangkang Jadi Timbalan Speaker

Kerajaan boleh mempertimbangkan calon daripada pembangkang untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat yang kosong ekoran peletakan jawatan Azalina Othman Said, kata Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kasim.

“Kita akan lihat apa yang dicadangkan pembangkang.

“Ia (calon yang dicadangkan) akan dipertimbangkan sekiranya maklum balasnya sama seperti bagaimana maklum balas setiausaha agung DAP Lim Guan Eng terhadap tawaran untuk mengisi Majlis Pemulihan Negara,” katanya seperti dipetik akhbar The Star.

Shahidan yang merupakan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PN (PNBBC) ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, hal itu selaras dengan pendekatan “Keluarga Malaysia” yang dianjurkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Tambahnya, besar kemungkinan jawatan timbalan speaker akan diputuskan oleh wakil rakyat apabila Dewan Rakyat bersidang pada 6 Sept nanti.

“Terpulang pada kabinet untuk memutuskan soal calon itu,” katanya menambah bahawa pihak lain turut boleh mencadangkan calon bagi jawatan itu.

Lim sebelum ini berkata DAP bersedia mempertimbangkan tawaran berkenaan, asalkan ia bukan sekadar mencukupi syarat dan mengiakan pandangan kerajaan semata-mata.

Pada 23 Ogos, Azalina meletakkan jawatan sebagai timbalan speaker susulan pembentukan kerajaan baru dan pelantikan Ismail sebagai perdana menteri.

Azalina antara 15 ahli parlimen Umno yang menarik sokongan kepada Muhyiddin menyebabkan gabungan kerajaan yang terdiri daripada PN, BN, PAS, PBS dan ahli parlimen bebas tumbang.

Dalam ucapan pertama sebagai perdana menteri, Ismail Sabri menekankan konsep “Keluarga Malaysia” dan menggesa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang bekerjasama.

Dia juga menawarkan untuk melibatkan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 serta Majlis Pemulihan Negara, dan bersedia bertemu mereka bagi membincangkan mengenai perinciannya.

Sementara itu, speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengesahkan notis telah dihantar kepada wakil rakyat untuk memilih calon mereka bagi jawatan timbalan speaker.

“Sekiranya hanya ada satu calon, tak perlu undian. Prosedurnya ringkas. Semua ahli parlimen boleh menamakan satu calon dengan memberikan notis, seeloknya notis 14 hari.

“Jika ada lebih dari satu (calon), akan ada undian menerusi ballot tetapi tiada bahas,” katanya.

Tambahnya, pelantikan timbalan speaker baru akan menjadi agenda utama dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *