Calon TPM : Tok Pa, Ronald Kiandee Juga Jauh Lebih Bagus

Calon TPM : Tok Pa, Ronald Kiandee Juga Jauh Lebih Bagus

 

Di sebalik desas-desus bekas Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu, seorang pemimpin Parti Bersatu berpandangan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed lebih layak menggalas tanggungjawab berat mewakili parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang enggan dikenali itu berkata, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dianggap calon paling layak untuk jawatan TPM kerana pemimpin itu mampu berperanan sebagai pendamai kepada Bersatu dan UMNO untuk jangka masa panjang.

Memetik Sinar Harian ujar beliau, keperibadian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) itu juga dilihat lebih tenang, fokus kepada tanggungjawab diamanahkan dan tidak suka bercakap politik juga antara faktor utama mengapa Tok Pa sepatutnya dipertimbangkan Bersatu bagi jawatan nombor dua kerajaan itu.

Namun ada seorang lagi nama yang jarang dipetik oleh mana-mana pihak ialah Naib Presiden 1 Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Jika mengikut herarki parti tersebut, Dr Ronald Kiandee jauh lebih kanan dan layak berbanding Azmin dan Tok Pa bagi dilantik sebagai TPM.

Ia sekali gus memecah tradisi bahawa TPM hanya layak untuk mereka yang lahir dari Semenanjung Malaysia sahaja.

Dari segi komitmen dan pengalaman pula, Dr Ronald Kiandee merupakan seorang bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan semasa pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lalu.

Menurut sumber di kementerian berkenaan, Dr Ronald Kiandee merupakan ‘nama kecil’ dalam politik namun hasil sentuhan kerjanya boleh dibanggakan.

Malahan, sehingga kini ramai warga kerja Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang merindukan sentuhan idea beliau walaupun hanya memimpin kementerian selama 18 bulan.

Antara nama lain yang digembar-gembur turut dipertimbangkan parti iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Mohamed Azmin sendiri.

Rakyat berharap Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dapat memilih dan melantik timbalannya yang benar-benar membawa kembali kepercayaan rakyat terhadap pakatan ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Difahamkan Ismail Sabri bakal mengumumkan senarai menteri kabinet sejurus selepas mendapat perkenan dari Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong minggu ini. – NB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *