Azmin Atau Hamzah : Jawatan TPM Milik Siapa?

Azmin Atau Hamzah : Jawatan TPM Milik Siapa?

Belumpun diputuskan barisan Kabinet baharu, sudah heboh desas-desus nama dua pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Dua pemimpin itu ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Kedua-dua pemimpin itu dikatakan paling layak mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu jika ia diwujudkan.

Bahkan kedua-duanya dipercayai mendapat ‘lampu hijau’ daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah dikatakan layak mengisi jawatan TPM bersandarkan kepada rekod kerjanya sebagai penggerak dan perancang sewaktu Perikatan Nasional (PN) menawan Sabah pada pilihan raya negeri 26 September tahun lalu.

Azmin pula dipercayai menjadi orang kepercayaan Muhyiddin dan ini dibuktikan apabila Ahli Parlimen Pagoh itu ketika menjadi Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Azmin akan memangku tugasnya jika beliau tiada dalam negara ketika itu.

Walaupun masing-masing mempunyai kekuatan daripada pengalaman dan senioriti dalam parti itu, namun ada berpandangan masing-masing akan berdepan cabaran getir daripada musuh politik, yang dikhuatiri boleh menggugat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, Hamzah dilihat berkaliber berbanding Azmin kerana Ahli Parlimen Larut itu mempunyai pengalaman luas dan rekod sebagai menteri Kabinet di bawah dua kerajaan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun masing-masing menempuh cabaran sebagai pembangkang sepanjang menjadi anggota Kabinet, namun imej bekas Menteri Dalam Negeri itu lebih baik berbanding Azmin.

Menurut beliau, gabungan Ismail Sabri-Hamzah lebih seimbang kerana masing-masing dilihat saling melengkapi khususnya kedua-dua dilihat berperanan tegas terhadap pihak yang mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Meskipun Azmin ada pengalaman sebagai Menteri Besar Selangor, namun ia tidak bermakna beliau cemerlang di peringkat Persekutuan. Lihat sahaja rekod beliau ketika menyandang Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri cukup tidak memberangsangkan.

“Jika dilihat Hamzah pula, walaupun tidak pernah diuji, tetapi beliau tiada kontroversi dan memiliki sikap ketaatan kepada pemimpin. Jadi, beliau sesuai menjadi Timbalan Perdana Menteri sekali gus gandingan sesuai kepada Ismail Sabri,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berpendapat, Azmin sesuai berganding dengan Ismail Sabri kerana beliau mewakili kepemimpinan muda selain memiliki strategi dalam pentadbiran negara.

Menurut beliau, jika mengambil kira pengalaman antara Azmin dan Hamzah, Ahli Parlimen Gombak itu mempunyai rekod cemerlang khususnya ketika menjadi Menteri Besar Selangor selepas menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Malah katanya, Azmin yang membawa sekurang-kurangnya 10 ahli Parlimen PKR ke Bersatu sebelum ini juga berupaya menjadi ‘king maker’ jatuh bangunnya kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

“Malah Azmin juga merupakan orang kepercayaan Muhyiddin sebab beliau menjadi faktor kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan tertubuhnya Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mungkin ini boleh jadi faktor beliau akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Ismail Sabri. Walaupun masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, tetapi Azmin diyakini untuk jawatan TPM,” ujar beliau.

Penganalisis keselamatan dan politik, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin pula menyifatkan, calon TPM perlu dipilih berasaskan penerimaan rakyat dan diukur mengikut prestasi pengurusan Covid-19.

“Pemilihan calon TPM haruslah berdasarkan penerimaan rakyat kerana kita mahukan seorang pemimpin yang mampu mewujudkan suasana gencatan politik dan fokus kepada penambahbaikan dasar kerajaan, sebab kita tidak mahu pelantikan ini menjadi bahan propaganda politik pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *