Batal Ordinan Darurat : Ini Perbuatan Tak Baik Dan Tak Cerdik, Kata Kuli

Batal Ordinan Darurat : Ini Perbuatan Tak Baik Dan Tak Cerdik, Kata Kuli

 

Tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tergesa-gesa dalam memansuhkan Ordinan-Ordinan Darurat menimbulkan kemusykilan seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi sehingga titah Yang di-Pertuan Agong sanggup diketepikan.

Dalam satu sidang media, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa tindakan PN yang telah membelakangi Tuanku Agong itu adalah tanggungjawab daripada seluruh wakil rakyat dalam kabinet kerajaan itu.

“Perkara itu mengejutkan kita semua kerana mengapa pengisytiharan pembatalan itu dibuat di Parlimen dan kita sendiri pun tidak tahu awal daripada ini, apakah tindakan-tindakan yang dibuat di bawah undang-undang ini terhadap mereka yang menjadi mangsa boleh dibuat tuntutan dan sebagainya oleh kerana terbatal ordinan-ordinan berkenaan.

“Tidak cerdik kerajaan melakukan perbuatan seumpama ini. Bukan setakat menteri parlimen dan undang-undang tetapi seluruh kabinet di bawah perdana menteri sekarang bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya dalam sidang media itu.

Agong juga telah menitahkan supaya Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut diungkaikan dan dibentangkan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Tengku Razaleigh, tindakan kerajaan merahsiakan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat adalah tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan malah tidak patut dipersetujui oleh anggota kabinetnya.

“Jadi saya rasa, ini adalah suatu perbuatan yang kurang cerdik dan saya rasa tidak patut dilakukan oleh kerajaan dan wakil-wakil yang dianggap wakil oleh mereka sendiri ini. Bagi saya, wakil dalam kerajaan sepatutnya beritahu kepada pihak kami bahawa keputusan ini telah dibuat,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh, sidang Parlimen yang ada kali ini adalah atas pandangan Seri Padika bukan untuk bersuka-suka tetapi untuk menimbang pengisytiharan Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat di bawahnya untuk mengurus tadbir negara sekiranya ordinan-ordinan itu perlu.

“Sia-sia kita menghadiri Parlimen tidak dapat menimbang dan berbincang tentang ordinan-ordinan yang dikatakan patut dibincang di Parlimen. Ini adalah satu perbuatan yang tidak baik.

“Kalau kita lihat kandungan kenyataan daripada Istana Negara, nampaknya Tuanku Agong tidak pernah dipersembah ordinan-ordinan ini untuk diperkenan supaya ia boleh dibatalkan seperti yang didakwa sebelum ini,” jelasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *