“UMNO Turut Derhaka Terhadap Seri Paduka Baginda…” – Parti Pejuang

“UMNO Turut Derhaka Terhadap Seri Paduka Baginda…” – Parti Pejuang

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan seluruh parti diingatkan untuk tidak bermimpi di siang hari.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Muda, Akif Rusli berkata, ini kerana UMNO turut terlibat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung keputusan membatalkan Ordinan Darurat yang dilakukan pada 21 Julai lalu.

Malah, pendirian UMNO juga hanya sekadar usaha untuk merealisasikan impian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Timbalan Perdana Menteri) sebagai pengganti Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan pembatalan Ordinan Darurat dibuat oleh Kabinet menteri yang turut dianggotai UMNO.

“Kabinet menteri UMNO pula tidak pernah pada bila-bila masa menafikan dakwaan pembatalan Ordinan Darurat.

“Jadi, UMNO tidak layak untuk mengemudi pentadbiran negara. UMNO juga bukan pejuang untuk rakyat sebaliknya pejuang berkepentingan parti semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian membalas kenyataan umum Asyraf Wajdi di Facebooknya bahawa UMNO memandang serius titah Yang di-Pertuan Agong mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat.

Pemuda UMNO menyifatkan tindakan kerajaan sebagai satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka serta mendesak supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatannya.

Pun begitu, Akif berpendapat UMNO turut derhaka terhadap Seri Paduka kerana parti itu menjadi sebahagian dalam kerajaan yang secara tidak langsung maklum berkenaan pembatalan Ordinan Darurat.

“Rakyat belum lupa rakaman audio perbincangan kumpulan kartel Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Akhirnya, UMNO kekal derhaka bersama daripada menang bersama,” katanya.

Pagi tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan dari Seri Paduka.

26 Julai lalu, Takiyuddin menjelaskan kerajaan Persekutuan telah membatalkan semua peraturan Ordinan Darurat namun kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak yang disifatkan tidak melalui proses yang betul selain ‘membelakangkan’ Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, masih belum ada warta baharu yang dikeluarkan di laman web Jabatan Peguam Negara mengenai pembatalan peraturan tersebut.

27 Julai lalu, Takiyuddin enggan menjawab pertanyaan yang disuarakan berulang kali oleh ahli Parlimen sama ada Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diwartakan tahun ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula menegaskan bahawa Takiyuddin hanya dapat memberi penjelasan pada Isnin minggu depan namun pembangkang merasakan ia membuang masa dan menjadi perbincangan akademik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *