Najib Bersama 39 MP BN Setuju Terus Sokong Muhyiddin

Najib Bersama 39 MP BN Setuju Terus Sokong Muhyiddin

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 39 lagi ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sebulat suara menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail Sabri, keputusan tersebut dicapai hasil perjumpaan bersama seramai 40 orang ahli-ahli Parlimen BN yang dipengerusikannya.

“Hasil daripada perjumpaan ini, ahli Parlimen BN menjunjung kasih akan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ahli-ahli Parlimen BN juga akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil dalam isu pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menekankan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting bagi beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru, Perdana Menteri turut menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dengan isu itu akan diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam kenyataan berasingan berkata, kerajaan masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen.

Beliau yang juga Ketua Whip Kerajaan turut berharap rakyat bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama berdoa agar kemelut politik berakhir dengan segera.

Istana Negara hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat dukacita berikutan pengumuman kerajaan di Dewan Rakyat bahawa Ordinan Darurat sudah dimansuhkan walhal ia belum mendapat perkenaan Seri Paduka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *