Mudah Saja, Ucapkan “Saya Sedar Saya Bersalah…”

Mudah Saja, Ucapkan “Saya Sedar Saya Bersalah…”

Oleh Dr. Syed Mohammad Hilmi b Syed Abdul Rahman

TIADA seorang pun daripada kita yang maksum kerana yang maksum itu hanyalah para nabi dan rasul.

Jadi, kesilapan boleh sahaja datang sama ada daripada yang kecil atau besar, yang alim atau jahil, pemerintah atau rakyat.

Cuma jenis kesalahan dan kesilapan itu sahaja yang berbeza. Kesalahan orang alim tidaklah seperti kesalahan orang awam. Sebab itulah seorang yang alim perlu sentiasa berhati-hati dalam ucapan dan tingkah laku kerana tergelincirnya seorang alim yang ramai pengikutnya itu bererti terjatuh juga para pengikutnya.

Kesalahan seorang dewasa pula tidaklah seteruk kesalahan budak kecil. Kesalahan seorang yang bertanggungjawab memegang amanah sudah tentu lebih buruk kesilapan insan lain.
Pendek kata, besar kecil kesalahan dan mudaratnya itu sesuai dengan jawatan atau kedudukan yang dipegang oleh seseorang yang melakukan kesalahan tersebut.

Sekiranya seseorang melakukan kesalahan bukan sesuatu yang aib untuk mengakui kesalahan dan kesilapan yang dilakukan serta meminta maaf daripada seseorang atau pihak berkenaan.

Bahkan ia akan meninggikan lagi kedudukannya di mata masyarakat, mengukuhkan lagi kepercayaan mereka kepadanya, menghilangkan sangkaan buruk dan prejudis terhadapnya.

Oleh yang demikian, seorang yang berhemah tinggi, hidup berprinsip mulia, berani berhadapan dengan masyarakat serta beradab akan mengaku kesilapan yang dilakukan dan tidak mengada-adakan pelbagai alasan untuk lari daripada kesalahannya

Sebaliknya bukanlah seorang yang mempunyai sifat kelakian sejati sekiranya dia sombong diri tidak ingin mengaku salah apatah lagi untuk memohon maaf.

Tetapi jangan berasa hairan sekiranya kita dapati ada yang mengira meminta maaf daripada kesilapan terhadap anak, isteri, rakan taulan atau jiran itu satu kelemahan atau kekurangan.

Lebih daripada itu, terdapat juga ilmuwan atau yang berstatus akademik tinggi tidak sanggup meminta maaf daripada murid atau pelajar atas kesilapan ilmiah yang dilakukan kerana bimbang kedudukan mereka tercalar. Begitu jugalah dengan menteri, pengurus, pengarah, saintis, doktor, akauntan, jurutera, penerbit, penterjemah, usahawan, ahli perniagaan, hakim, peguam, mekanik juruterbang dan lain-lain.

Apakah agaknya sebab mereka kita tidak ingin meminta maaf? Kemungkinan besar kerana mereka atau kita memiliki personaliti yang rapuh, hidup tidak berwawasan, tidak berani berhadapan dengan realiti, Ingin lari daripada kebertanggungjawaban atau ingin dilihat sempurna oleh semua orang.

Sememangnya mengakui kesilapan itu satu tindakan positif yang hanya ada pada mereka berjiwa cekal, sentiasa ingin memperbaiki diri dan tunduk kepada kebenaran.

Mereka tidak teragak-agak untuk mengajukan: “Saya minta maaf, saya berjanji tidak akan melakukannya lagi”, “Saya menyesal kerana bertindak melulu tanpa berfikir akibat buruk yang akan menimpa awak” kepada seorang lelaki mahupun perempuan kepada seorang kanak-kanak atau orang dewasa.

Berapa banyak hati yang terhiris dan perasaan yang terluka dapat disembuhkan hanya dengan kata-kata ikhlas: “Saya mohon maaf”, “Saya amat kesal” atau “Saya sedar saya bersalah.”

Sama-samalah kita menghayati sifat meminta maaf dengan tulus dan setelah benar-benar mengakui kesalahan kerana kita akan merasa lebih lega dan tak lagi menanggung derita dengan gangguan emosi negatif.

Meminta maaf itu jika kita tidak lakukan dengan ikhlas nescaya berbagai-bagai emosi negatif akan bersarang dalam hati.

Perasaan itu tak akan hilang dan yang lebih membimbangkan ia boleh menyebabkan depresi atau gangguan mental yang juga boleh menyebabkan fizikal menjadi lemah dan terkena penyakit lain yang berbahaya.

Walau bagaimanapun setelah meminta maaf dan dimaafkan, bukanlah bererti kita boleh kembali melukai perasaan orang lain. Jika situasi ini berulang, berkemungkinan besar kita tidak akan dipercayai lagi dan tidak akan dimaafkan selama-lamanya!

Penulis merupakan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

[PENAFIAN : Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia tidak menggambarkan kenyataan portal Naluri Bangsa. Terima kasih]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *