BN Pahang Tuntut Kerajaan PN Mohon Ampun Kepada YDPA

BN Pahang Tuntut Kerajaan PN Mohon Ampun Kepada YDPA

Barisan Nasional (BN) Pahang menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat permohonan keampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas kekhilafan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat pada Isnin.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Pusat perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan itu dan sikap membisu sehingga kini tidak membantu.

“Umpama sudah terang lagi bersuluh. Tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka Baginda dan tindak balas sewajarnya yang perlu diambil oleh Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin serta menteri yang bertanggungjawab mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin, kerajaan PN memutuskan tidak akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan menjelaskan kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.

Pengumuman mengenai pembatalan ordinan berkaitan darurat dibantah pihak pembangkang yang menuntut Takiyuddin menjelaskan bilakah peraturan itu dibatalkan dan mekanisme pembatalan itu dibuat.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada Isnin bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda

“BN Pahang yang ditunjangi UMNO teramat sedih dan kesal dengan kejadian ini. Tindakan itu bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara malah prinsip kedaulatan undang-undang.” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *