Pendakwaan Syed Saddiq : Hormati Fungsi Dan Profesionalisme SPRM

Pendakwaan Syed Saddiq : Hormati Fungsi Dan Profesionalisme SPRM

MALAYSIA Corruption Watch (MCW) berharap pendakwaan terhadap Syed Saddiq Abdul Rahman dapat memberi keadilan kepada semua pihak selain peluang untuk Ahli Parlimen Muar itu membersihkan nama dan menjelaskan kepada rakyat punca wang tersebut.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, rakyat berhak untuk mengetahui fakta sebenar dan memang wajar beliau menunjukkan sifat bertanggungjawab dan berintegriti tinggi sekiranya mahu terus layak sebagai bakal pemimpin negara pada masa depan.

Katanya, rakyat yakin bahawa penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijalankan secara profesional berdasarkan bukti-bukti yang ada dan tidak pernah berpandukan pada fitnah atau tohmahan semata-mata.

“Semua pihak harus menghormati fungsi SPRM sebagai sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

“Mahkamah akan menentukan dan menjatuhkan hukum sama ada ianya fitnah atau tidak. Mahkamah juga akan membuat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Jais, pertuduhan ini sebenarnya adalah peluang terbaik untuk bekas Menteri Belia dan Sukan itu “cakap serupa bikin” dan berani kerana benar.

“Buktikan bahawa beliau pernah menyatakan tidak akan menyorokkan apa-apa berkaitan isu ini dan bersikap berani kerana benar.

“Tambahan pula sebagai ahli parlimen yang selalu bercakap tentang antirasuah dan salah guna kuasa, Syed Saddiq mestilah jujur, matang dan bersikap terbuka dalam hal ini.

“Jangan politikkan isu ini dan kononnya ada usaha untuk membawa beliau lompat parti dalam kes ini. Sila jelaskan kepada mahkamah jika mahu rakyat mempercayai beliau. Jika benar tidak bersalah, tidak perlu takut,” jelasnya.

Salah guna sumbangan PRU-14, Syed Saddiq mengaku tak bersalah pertuduhan kedua

Menurut Jais, rasuah politik dan integriti yang paling rendah ialah tindakan ‘lompat parti’ dalam kalangan ahli politik yang memberi kesan besar terhadap integriti dan governans negara.

Katanya, satu undang-undang khas wajar diperkenalkan menerusi Akta Parti Politik Malaysia (APPM) bagi memastikan hal ini dapat dikawal.

“APPM mestilah merangkumi pengurusan pendaftaran parti politik dan mengawal segala hal berkaitan kewangan dan laporan tahunan serta hal-hal lain demi memastikan tiada salah urus atau salah guna kuasa berlaku.

“Ianya lebih menyeluruh dari sekadar mengawal isu pendanaan parti politik seperti yang dicadangkan melalui Akta PDEA,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *