Ismail Sabri Jawab Persoalan Boleh Rentas Negeri Atau Tak Ketika Aidiladha Ini

Ismail Sabri Jawab Persoalan Boleh Rentas Negeri Atau Tak Ketika Aidiladha Ini

Sambutan Hari Raya Aidiladha bakal tiba tidak lama lagi. Orang ramai di media sosial sudah mula tertanya-tanya adakah kita bakal dibenarkan untuk merentas negeri atau daerah bagi melakukan cara kunjung mengunjung?

Seperti yang dilaporkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), aktiviti rentas negeri dan daerah merupakan salah satu faktor utama yang mengakibatkan jumlah kes jangkitan dan kluster Covid-19 di negara ini bertambah dengan mendadak.

Bagi mengurangkan kegelisahan ini, Timbalan Perdana Menteri tampil memberi gambaran jelas berkaitan persoalan ini.

Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan rakyat supaya tidak cuba merentas negeri atau daerah sempena sambutan Aidiladha, sebaliknya mengambil iktibar daripada Kluster Aidilfitri yang berlaku sebelum ini.

Pada bahasa mudahnya, Ismail menegaskan bahawa rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan setakat ini.

“Saya harap kita mengambil iktibar kes yang berlaku selepas hari raya Aidilfitri, walaupun ketika itu dari segi SOP (prosedur operasi standard) masih belum boleh rentas daerah dan negeri tetapi ramai yang curi balik, ikut lorong tikus dan sebagainya.

“Kalau kita lihat kluster rentas negeri memuncak selepas itu. Sebagai contoh kes di Terengganu dan Kelantan, seluruh keluarga dijangkiti hingga ada yang meninggal dunia.

“Harap itu menjadi iktibar kepada kita, walaupun kita pandai nak lari sekatan polis untuk balik ke kampung, kita boleh lepas dari polis tetapi mungkin tidak lepas daripada jangkitan Covid-19,” katanya.

Perkara demikian disebut oleh beliau semasa ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah hari ini.

Sebaliknya, Ismail mengajak rakyat untuk terus melaksanakan kawalan kendiri bagi memastikan keselamatan diri dan jangan ada bertindak rentas negeri atau daerah.

“Saya dah kata kalau vaksin dapat diberikan kepada rakyat dan imunisasi berkelompok sudah diperoleh, pada fasa ketiga atau keempat, rentas daerah dan negeri akan dibenarkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *