Apa Petandanya Bila Pak Habib Minta Zahid Hamidi Lepaskan Jawatan?

Apa Petandanya Bila Pak Habib Minta Zahid Hamidi Lepaskan Jawatan?

 

Ramai penulis buku dan penganalisis politik dalam negara ini, namun dalam ramai-ramai itu jarang sekali yang mempunyai ketajaman dan ketepatan pandangan seperti seorang penulis ini.

Boleh dikatakan sebahagian besar analisis dan pandangan beliau akan menjadi realiti, walaupun ia ditulis pada empat atau lima tahun lebih awal.

Penulis buku yang dimaksudkan ialah Syed Hussein Al-Attas atau lebih tersohor dengan panggilan Pak Habib, seorang penganalisis politik yang telah menjenggah usia lebih 80 tahun.

Berpuluh-puluh buku tulisan beliau sering menjadi rebutan ramai kerana ketajaman analisis dan ramalan yang beliau lakukan, lazimnya akan menjadi realiti selepas itu.

Semasa pandemik Covid-19 masih belum selesai dan polemik politik tanah air yang makin berkocak kacik, Pak Habib tiba-tiba timbul membuat taakulannya dalam laman Facebook.

Pak Habib meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempelajari sesuatu dari sirah pahlawan Islam bernama Khalid Ibni Walid yang telah diturunkan pangkatnya oleh Khalifah Saidina Umar Ibni Khattab.

Dari seorang Jeneral perang, Khalid diturunkan jawatan sehingga menjadi prebet biasa.

“YB Dato Seri Dr Zahid Hamidi bekas timbalan perdana menteri bekas menteri dalam negeri tapi masih presiden UMNO jika pandangan saya boleh diterima mari kita belajar dari sejarah pahlawan islam Khalid ibni Walid sebagai jeneral diturunkan pangkat menjadi prebet oleh Saidina Umar ibni Khattab,” katanya.

Khalid pada waktu itu mengambil pendekatan untuk merendah diri dan tidak melawan pemerintah, walaupun beliau punya keupayaan berbuat demikian.

Turut mengambil contoh sejarah tempatan, Pak Habib menasihati Dr Zahid untuk mengikut cara Dato’ Harun Idris, apabila Tun Abdul Razak Hussein pada waktu itu meminta beliau ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun beliau lebih rela memilih untuk dipenjarakan.

Berpandukan beberapa contoh, Pak Habib meminta Dr Zahid berfikir panjang untuk melepaskan jawatannya sebagai seorang khalifah parti daulat bangsa Melayu, UMNO.

“Beliau tidak menentang demi untuk perpaduan ummat Islam. Tidak hilang bisa ular yang menyusur diakar seandainya kita merasakan kita sesat dihujung jalan baliklah ke pangkal jalan boleh juga belajar dari Allahyarham Dato Harun Idris, Allahyarham Tun Razak nak hantar ke PBB dia menolak dia memilih penjara maka terserahlah kepada budi bicara Dato Seri Dr Zahid letak je jawatan,” tulisnya di Facebook.

Pak Habib turut meminta Dr Zahid untuk mempelajari kisah yang dihadapi oleh bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang tersilap percaturan sehingga buat pertama kalinya dalam sejarah negara kita, parti Barisan Nasional (BN) kalah dan rebah ke bumi semasa PRU14 lalu.

“Berundur 3 tapak untuk maju 100 tapak kehadapan. Jangan ulangi kesilapan Najib Razak akhirnya BN kalah dan Najib menunggu dan berada dalam kluster mahkamah padahal apalah nak dibandingkan dosa-dosa Zahid dan Najib jika dikumpulkan dengan dosa Tun M yang menggunung. Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tak da gunanya,” katanya.

Sebagai seorang pemerhati politik yang ramalannya hampir pasti dengan realiti masa depan, timbul persoalan, apakah tulisan Pak Habib ini memberi mesej kepada kita bahawa, jalan yang dibawa oleh Dr Zahid dalam mengemudi UMNO adalah salah dan terpesong?

Yang pasti, ada suatu perkara tersirat akan berlaku ketika pandemik Covid-19 makin meruncing dan polemik politik makin tak sudah saat ini.

Tindakan demi tindakan yang dilakukan Dr Zahid dalam membawa hala tuju UMNO dan BN ketika saat penularan wabak ini akan menjadi kayu ukur kepada keabsahan pandangan pengundi sama ada bakal memangkah calon BN atau tidak semasa PRU15 dan PRU16 akan datang. – NB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *