“Usah Mengalah Harimau Malaya!” – Reezal Merican

“Usah Mengalah Harimau Malaya!” – Reezal Merican

Walaupun tumpas 1-2 di tangan Vietnam pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Al-Maktoum, Dubai, sebentar tadi, pasukan bolasepak Malaysia tetap dianggap telah membanggakan negara tercinta.

Tidak dinafikan, keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya terus kempunan untuk mencipta kejutan ke atas skuad di ranking ke-92 dunia itu dalam enam perlawanan dengan kali terakhir mereka menewaskan Vietnam adalah pada 2014.

Malah, ‘tangkal’ Vietnam, Nguyen Cong Phuong terus membawa tuah selepas mereka berterusan mengelak kekalahan di tangan Malaysia dalam 10 perlawanan setiap kali penyerang itu turun beraksi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memberi kata-kata perangsang dan penghargaan kepada skuad Harimau Malaya atas prestasi yang baik telah ditunjukkan oleh mereka.

Dalam satu hantaran di Facebook, Reezal memuji semangat juang yang cukup baik dalam diri setiap pemain, walaupun nasib tidak menyebelahi kita kali ini.

“Syabas Harimau Malaya! Aksi malam ini membuktikan semangat perjuangan anda semua masih kuat dan tersemat di dada. Usaha yang cukup baik, namun nasib tidak menyebelahi pasukan kita,” katanya di Facebook.

Babak pertama menyaksikan Malaysia tampil dengan aksi lebih bertenaga dan agresif sehingga dapat mengimbangi perlawanan sekalipun terpaksa berdepan beberapa percubaan daripada Vietnam.

Bersambung babak kedua, peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-58 menerusi sepakan percuma yang diambil Nazmi Faiz Mansor cuma sayangnya, bola yang tiba di kaki Guilherme de Paula hanya dikuis perlahan dan mudah ditangkap Tan Truong.

Selepas 70 minit, De Paula akhirnya memberi impak apabila mendapatkan sepakan penalti selepas dikasari Doan Van Hau dan pemain naturalisasi itu tidak mensia-siakan peluang terbabit untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Hasrat Malaysia mendapatkan gol kedua disentap apabila Vietnam pula dihadiahkan sepakan penalti kontroversi pada minit ke-80 yang disempurnakan Que Ngoc Hai untuk gol kemenangan Vietnam yang terus gah selaku pendahulu Kumpulan G.

Seperti hasrat Reezal, seluruh rakyat Malaysia turut mengharapkan agar skuad Harimau Malaya dapat mencipta kejayaan ketika berdepan dengan Thailand pada 16 Jun depan. – NB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *