Kluster Hari Raya Masih Dikesan Walau Sudah Sebulan Berlalu

Kluster Hari Raya Masih Dikesan Walau Sudah Sebulan Berlalu

Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi mengesan kluster berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung melalui dua kluster komuniti, hari ini.

Dua kluster berkenaan adalah Kluster Melatai di Sarawak dan Kluster Kampung Kubang Batu di Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Melatai yang kini menjangkiti 45 individu, membabitkan individu yang terbabit dalam aktiviti kunjung-mengunjung sempena sambutan perayaan bermula 1 Jun hingga 3 Jun lalu.

Beliau berkata, kes indeks bagi kluster itu seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dari Melatai Baru, Kapit, yang dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Jun lalu hasil saringan kontak rapat.

Katanya, setakat ini, seramai 139 individu sudah disaring dalam kluster ini.

“Kluster Kampung Kubang Batu ini membabitkan individu yang mengadakan aktiviti kunjung-mengunjung ketika sambutan perayaan.

“Kes indeks bagi kluster ini seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 63 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Mei lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kes mula bergejala pada 10 Mei dan setakat ini 19 individu sudah dijangkiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebanyak 24 kluster jangkitan baharu dikesan hari ini, dengan 15 daripadanya kluster tempat kerja dan tujuh kluster komuniti, manakala dua lagi kluster pusat tahanan.

Selain itu, KKM turut mengesan satu kluster komuniti membabitkan individu yang menghadiri sebuah majlis di Kampung Kadazan Ambar Park Dalam, Tawau.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster itu seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Jun hasil saringan kematian.

Beliau berkata, kes mula bergejala pada 30 Mei dan sehingga kini kluster berkenaan sudah menjangkiti 16 individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *