Akses Telefon Bimbit Mereka Yang Enggan Ambil Vaksin Covid-19 Akan Disekat

Akses Telefon Bimbit Mereka Yang Enggan Ambil Vaksin Covid-19 Akan Disekat

Kerajaan wilayah Punjab secara prinsipnya memutuskan untuk menyekat akses telefon bimbit penduduk di situ yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Cadangan itu adalah satu daripada beberapa langkah yang akan dilakukan kerajaan wilayah dan Persekutuan bagi memastikan lebih ramai rakyat negara itu mengikuti program vaksinasi yang sedang dilaksanakan.

Keputusan menyekad kad sim telefon bimbit itu diambil pada satu mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Kesihatan Wilayah Punjab, Dr Yasmin Rashid, lapor agensi berita Gulf News.

Mesyuarat memutuskan cadangan itu akan dihantar kepada Ketua Menteri dan Gabenor untuk tindakan seterusnya.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk mendirikan kem vaksinasi bergerak di luar kuil di wilayah itu bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan vaksin COVID-19.

Kerajaan wilayah itu turut memutuskan untuk membenarkan pembukaan semula perniagaan di semua daerah, selepas 20 peratus daripada jumlah penduduknya sudah divaksin.

Pakistan semalam melaporkan, hampir 10.5 juta dos sudah diberikan di seluruh negara setakat ini, dengan 310,236 dos dalam tempoh 24 jam.

Mengikut Pusat Gerakan dan Operasi Nasional (NCOC), program vaksinasi negara itu berjalan sepenuhnya di seluruh negara dan cuti mingguan pada Jumaat sebelum ini digantikan dengan Ahad.

Orang ramai kini boleh menerima suntikan vaksin pada Jumaat di mana-mana pusat vaksinasi selepas berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pangkalan Data dan Pendaftaran Kebangsaan (NADRA).

Laman web NCOC mendedahkan, kadar kes positif COVID-19 kekal kurang daripada lima peratus untuk hari ke-17 berturut-turut.

NCOC memaklumkan, Jumlah kes aktif juga menurun dalam tempoh 24 jam lalu, daripada 44,236 kepada 43,618 kes. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *