Buruh Kanak-Kanak Meningkat Lebih 8 Juta Sejak 2016

Buruh Kanak-Kanak Meningkat Lebih 8 Juta Sejak 2016

Penglibatan kanak-kanak sebagai buruh dilaporkan meningkat lebih daripada lapan juta sejak 2016. Peningkatan statistik ini turut disumbang pandemik COVID-19.

Laporan Organisasi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mendedahkan ini menjadikan buruh kanak-kanak di seluruh dunia mencecah 860 juta secara keseluruhannya.

Sebagai contoh, laporan itu mendedahkan ramai kanak-kanak di Guatemala bekerja dalam bidang pertanian terutamanya di ladang kopi.

Ia menjadi salah satu aliran pendapatan terpenting di negara itu.

Laporan FAO juga mendedahkan apabila buruh kanak-kanak meningkat remaja, mereka akan dipindahkan ke persekitaran kerja yang lebih berbahaya.

Kemboja juga merupakan antara negara yang mengalami masalah peningkatan buruh kanak-kanak terutamanya dalam industri perikanan.

“Situasi baharu kini menunjukkan buruh kanak-kanak sememangnya meningkat sejak laporan terakhir dikeluarkan.

“Sejak 2016, ada perubahan yang cukup ketara, sekarang ada 8.4 juta lagi kanak-kanak yang terjebak sebagai buruh.

“Jadi, sekarang ada 860 juta di seluruh dunia, dan 70 peratus buruh kanak-kanak malangnya masih, seperti tahun-tahun sebelumnya, berada di sektor pertanian.

“Oleh itu, jumlah mutlak sekarang ialah 4 juta lagi kanak-kanak yang terjebak sebagai buruh kanak-kanak dalam pertanian,” kata wakil FAO Bernd Seiffert.

Justeru, Seiffert meminta lebih banyak pelaburan dibuat dalam perlindungan sosial, pengurangan kemiskinan, keselamatan makanan dan sistem makanan yang lebih lestari agar agensi berkumpul dan bekerjasama ke arah lebih baik. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *