Umno, DAP Dijangka Akan Terkubur Dari Dunia Politik Jika…

Umno, DAP Dijangka Akan Terkubur Dari Dunia Politik Jika…

UMNO dan DAP dijangkakan terkubur dari dunia politik negara jika kedua-dua parti itu benar-benar bergabung dan mewujudkan kerjasama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Achmad Dzariean Mohd. Nadzri berkata, kemungkinan itu boleh berlaku kerana rakyat terutama ahli parti masing-masing tidak lagi menyokong parti berikutan keputusan kerjasama itu yang tidak dipersetujui sejak awal.

Kata beliau, situasi itu sekali gus menyebabkan berlakunya penolakan total yang mana kedua-dua pengundi parti dominan Cina DAP dan parti dominan Melayu iaitu UMNO akan memboikot pilihan raya atas pelanggaran prinsip atau pertembungan ideologi.

“Kita tidak sama sekali menolak sebarang kemungkinan kerjasama antara parti-parti politik kerana politik adalah seni segala kemungkinan. Perkara ini sebenarnya sudah pun diberikan petunjuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mana beliau menyatakan bahawa akan ada penjajaran baharu kerana pada pandangan beliau politik adalah dinamik.

“Jadi mahu tidak mahu kita harus menerima hakikat bahawa akan ada kerjasama yang akan terjadi antara UMNO dan DAP walaupun kita tahu kerjasama merupakan satu buah fikiran yang dianggap sebagai idealis, tetapi dalam politik segala-gala boleh berlaku.

“Perkara-perkara ini memungkinkan keadaan bahawa pengundi-pengundi tegar kedua-dua parti akan memboikot PRU akan datang sekiranya kerjasama ini berlaku. Ini satu kemungkinan yang tidak dapat kita elakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Achmad Dzariean berkata, seandainya penolakan total oleh akar umbi tidak dihiraukan pemimpin atasan, beliau menjangkakan pertembungan konflik akan berlaku antara golongan pemimpin tertinggi parti yang mahukan kerjasama dengan musuh utama mereka.

Ini kerana katanya, sentimen akar umbi UMNO sudah diketahui termasuk sudah dibangkitkan dalam setiap kali Persidangan Agung UMNO yang menolak kerjasama yang ingin diwujudkan bersama parti lawan DAP dan PKR.

Justeru, kata beliau, jika tiada lagi sokongan, parti UMNO sedia ada akan terkubur dan berkemungkinan wujudknya parti UMNO baharu.

“Pertembungan akan berlaku bahawa orang bawah tidak akan bersetuju sebarang tindakan pemimpin atasan yang mahukan kerjasama dengan parti lawan yang mana mereka merasakan UMNO boleh bertahan, selamat dan UMNO boleh memerintah kembali Malaysia sekiranya mereka mengadakan kerjasama dengan parti lawan,” katanya.

Baru-baru ini, beberapa Ketua Bahagian UMNO menyatakan DAP akan membuli UMNO dengan lebih teruk berbanding ketika bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekarang ini jika parti Melayu itu memilih untuk bergabung dengan PH selepas PRU-15 di bawah pembentukan jajaran baharu.

Dalam hal itu, UMNO tidak akan menjadi lebih kukuh dan selamat kerana DAP sudah sekian lama berdendam dan hanya akan mempergunakan Melayu untuk kepentingan bangsanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *