Reezal Merican Bangga Dengan Pasukan Bolasepak Orang Pekak Malaysia!

Reezal Merican Bangga Dengan Pasukan Bolasepak Orang Pekak Malaysia!

Walaupun pandemik Covid-19 masih berada dalam komuniti dunia, namun ia bukan alasan untuk kejohanan sukan dihentikan terus begitu sahaja.

Justeru, Sukan Deaflympics dijadualkan akan berlangsung di Brazil pada 1 hingga 15 Mei 2022 depan dengan perlawanan saringan dan pusingan kelayakan telah bermula mulai sekarang.

Sukan Deaflympics ini boleh dianggap sebagai Olimpik bagi mereka yang mempunyai kekurangan upaya dalam pendengaran.

Yang boleh membanggakan kita adalah, Pasukan Bolasepak Orang Pekak Negara dijadualkan akan bersaing dalam Pusingan Kelayakan Bolasepak Orang Pekak, Peringkat Asia-Pasifik di Kish Island, Republik Iran pada 1 hingga 11 Jun 2021 ini.

Atas kejayaan besar ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sendiri tampil memberi kata-kata perangsang dan berdoa untuk kejayaan pasukan ini kelak.

Kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghalang untuk sebarang pertemuan beramai-ramai dilakukan, maka Reezal telah memuatnaik rakaman ucapan beliau melalui video pendek daripada pejabatnya di Putrajaya.

Video berdurasi 4 minit 13 saat itu telah disiarkan melalui laman media sosial Facebook dan Instagram milik Reezal pada pagi Sabtu, 29 Mei 2021.

Dalam ucapannya, Reezal menerangkan betapa pentingnya pusingan kelayakan yang bakal disertai pasukan bolasepak negara kita pada bulan depan ini.

“Pusingan Kelayakan Bolasepak Orang Pekak di Iran ini merupakan pertandingan yang penting untuk memastikan pasukan negara dapat menjadi kalangan empat pasukan terbaik, yang sekali gus layak ke 24th Deaflympics Games di Brazil pada 1 hingga 15 Mei 2022,” katanya.

Reezal turut memberitahu tentang latar belakang Sukan Deaflympics yang akan diadakan di Brazil tahun hadapan.

Mungkin ramai yang sebelum ini tidak mengetahui kewujudan sebuah kejohanan sukan yang khusus untuk barisan atlit kurang upaya pendengaran.

“Deaflympics ini dianggap sebagai sukan Olimpik kepada golongan kurang upaya pendengaran. Saya dimaklumkan sebanyak lapan pasukan bolasepak rantau Asia-Pasifik akan bertanding di Iran nanti, termasuklah Iran, Korea, Kazakhstan, Uzbekistan, Iraq, Afghanistan dan juga Thailand,” katanya dalam video berkenaan.

Pasukan bolasepak orang pekak bagi negara kita merupakan salah satu pasukan yang mendapat perhatian serius daripada pihak kerajaan.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan, melalui Majlis Sukan Negara (MSN), Pasukan Bolasepak Orang Pekak Negara telah diletakkan dalam ‘Program Khas MSN’ bermula sejak 1 September 2020 lalu.

Antara kelebihan pasukan yang berada di bawah program khas ini adalah segala perbelanjaan mereka ditanggung sepenuhnya oleh MSN sendiri.

Pemilihan pasukan ini ke dalam program khas berkenaan mungkin kerana kejayaan sebelum ini yang mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke pusingan akhir “4th World Deaf Football Championship” di Korea pada tahun 2023 nanti.

Ini merupakan kejayaan yang cukup membanggakan Malaysia kerana kita memiliki golongan kurang upaya yang mungkin tidak sempurna dari segi fizikal, namun semangat juang dan kemahiran mereka bersukan telah mencapai tahap antarabangsa.

Jika mungkin sebelum ini kita jarang cakna atau tidak maklum akan kewujudan pasukan ini, marilah sama-sama mulai hari ini kita tunjukkan solidariti bersama pasukan atlit kurang upaya pendengaran Malaysia untuk mereka berjaya di persada antarabangsa.

Semoga Pasukan Bolasepak Orang Pekak Negara akan membawa pulang kemenangan yang diimpikan pada bulan Jun 2021 nanti. Percayalah bahawa doa dan sokongan rakyat Malaysia sentiasa mengiringgi pemergian anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *