Tiada Fungsi Semak Imbang Punca UMNO Desak Buka Parlimen – Khaled

Tiada Fungsi Semak Imbang Punca UMNO Desak Buka Parlimen – Khaled

UMNO berpendapat apabila Parlimen tidak bersidang dan kerajaan pula mempunyai kuasa mutlak menjadikan tiada lagi fungsi semak dan imbang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti tunjang Melayu itu bimbang tidak wujud akauntabiliti terhadap tindakan kerajaan kerana tiada kedua-dua proses berkenaan.

“Apabila pelbagai institusi serta organ demokrasi digantung, wujud kecenderungan dan kecuaian Kerajaan dalam membuat pelbagai keputusan yang tidak perlu, yang dialas dengan alasan darurat dan usaha membendung pandemik.

“Kedua, segala tindakan dan langkah pemulihan yang diambil akan hanya bersifat top-to-bottom, yakni sehala dari kerajaan kepada rakyat. Bukan bersifat pelbagai sudut dari semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen kembali bersidang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, tindakan menggantung sidang Parlimen tidak akan memudahkan proses memerangi Covid-19 sekaligus tidak akan dapat memulihkan ekonomi negara.

“Kita telah berjaya mengekang wabak ini sebelum ini sekali pun tanpa pengisytiharan darurat. Yang lebih ralat, sekali pun selepas diisytiharkan darurat, kita tidak pula menyaksikan sebarang perbezaan dari segi keberkesanan strategi mahupun keputusan kerajaan.

“Jadi, bukankah lebih baik jika segala dasar dan keputusan tersebut dibahas dan dibincangkan dengan telus dan konstruktif dalam Parlimen dan tidak dibiarkan untuk diputuskan oleh Perdana Menteri secara mutlak sahaja,” katanya lagi.

Februari lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara menyebut perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Ia menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri. – MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *