Mencari Sistem Pilihan Raya Alternatif Kepada Sistem Sedia Ada

Mencari Sistem Pilihan Raya Alternatif Kepada Sistem Sedia Ada

Oleh : Amerul Muner Mohammad

DALAM pilihan raya, calon sama ada dari setiap parti politik ataupun calon bebas akan melaungkan janji utama iaitu sekiranya terpilih mereka akan berkhidmat untuk masyarakat dan akan memenuhi semua permintaan rakyat.

Sebahagian wakil rakyat akan dilantik menjadi ahli Kabinet dalam kerajaan yang memerintah dan bertanggungjawab untuk menjalankan tugas untuk memakmurkan negara demi kesejahteraan rakyat.

Ahli-ahli Parlimen adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan undang-undang selaras dengan polisi yang dibentuk oleh Kabinet.

Tidak kira sama ada wakil rakyat tersebut berada di sebelah kerajaan atau pembangkang, tugas dan tanggungjawab wakil rakyat adalah besar, sebesar harapan rakyat ke atas mereka.

Adalah munasabah bagi rakyat meletakkan harapan yang tinggi ke atas wakil-wakil rakyat kerana ketika berkempen, calon-calon sentiasa menjanjikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.

Apabila rakyat tidak dapat merasai apa yang dijanjikan, banyaklah permintaan untuk penambahbaikan dan pembaharuan dalam sistem pemilihan wakil rakyat, seolah-olah perubahan dalam sistem pilihan raya dapat mengatasi ketidakpuasan hati rakyat terhadap wakil-wakil mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Sistem pilihan raya di negara ini, ‘First-Past-the-Post’, tidak berubah sejak diwujudkan sebelum merdeka.

Hasil dari pilihan raya umum pertama (PRU1) 1959 sehingga PRU14 (2018) telah mewujudkan kerajaan yang sah.

Ini kerana setiap prosedur dan undang-undang berkaitan pilihan raya dipatuhi terutama oleh pihak pengurusan pilihan raya serta pihak-pihak yang terlibat dalam pilihan raya seperti calon, parti politik, penyokong parti dan lain-lain jentera kerajaan.

Walaupun terdapat insiden-insiden dan pertikaian yang berlaku semasa pilihan raya, perkara itu dapat diselesaikan melalui lunas undang-undang dan tidak mengubah keabsahan kerajaan yang ditubuhkan.

Sejak kebelakangan ini, banyak pihak terutama masyarakat sivil dan akademia membincangkan supaya sistem pilihan raya di Malaysia dikaji untuk perubahan.

Ini dilakukan di atas dasar undang-undang dan sistem pilihan raya kita adalah lapok dan tidak mengikut perubahan semasa.

Ini bermula akibat daripada ketidakpuasan hati masyarakat ke atas perlakuan ahli-ahli politik yang seolah-olah tidak mempedulikan kehendak masyarakat, membelakangkan aspirasi pengundi dan mendahulukan kepentingan politik persendirian atau parti-parti masing-masing.

Lebih malang, pengundi merasakan bahawa mereka tidak mempunyai ruang untuk membuat perubahan sehinggalah pilihan raya akan datang.

Adakah dengan memperkenalkan sistem pilihan raya yang baharu seperti ‘Alternative Vote or Preferential Voting’ yang diamalkan di Australia atau ‘Mixed System Proportional’ seperti di New Zealand dan Jerman, ‘Proportional Representation’ di Indonesia atau ‘Supplementary Member System’ yang digunapakai di Jepun, Russia dan Itali atau lain-lain sistem, akan dapat memuaskan kehendak pengundi di Malaysia?

Adakah sistem pilihan raya atau perlakuan wakil-wakil yang menjadi isu dan keresahan di kalangan pengundi? New Zealand menukar sistem pilihan raya pada 1996 dari ‘First-Past-the-Post’ kepada ‘Mixed Member Proportional’ sebahagian daripadanya untuk mengekang penguasaan yang terlalu lama oleh parti memerintah, yang pada pandangan rakyat boleh membawa kepada isu akauntabiliti kepimpinan negara terhadap rakyat dan budaya politik yang tidak sihat.

Jepun mengubah sistem pilihan raya pada 1994 lanjutan daripada beberapa skandal politik yang melanda negara itu.

Isu pokok yang menyebabkan penukaran sistem pilihan raya adalah kepercayaan rakyat kepada pucuk pimpinan negara.

Rakyat mahu sistem pemilihan yang wakil-wakil rakyat yang dipilih adalah berintegriti dan sistem pentadbiran yang berpaksikan kepada governans atau tadbir urus yang sempurna.

Rakyat juga mahukan sistem di mana wakil-wakil yang dipilih bertanggungjawab kepada pemilih dan bukan kepada parti sepenuhnya.

Sekiranya wakil rakyat melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan aspirasi rakyat seperti lompat parti atau sebagainya, pemilih harus mempunyai hak untuk memilih wakil lain.

Tiada satu sistem pilihan raya yang sempurna. Namun sistem yang baik adalah suatu sistem yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk memilih calon yang benar-benar mewakili kepentingan masyarakat.

Pada sama juga, pengundi boleh memilih parti politik yang benar-benar layak untuk membentuk kerajaan dan sentiasa menjaga kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Di samping sistem pilihan raya, apa yang lebih penting adalah pengetahuan pengundi mengenai asas demokrasi dan pendidikan mengenai pilihan raya untuk segenap lapisan masyarakat.

Sebab itulah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) yang ditubuhkan oleh kerajaan pada 2018 mencadangkan supaya pendidikan sivik dan pilihan raya diberi penekanan khusus oleh kerajaan di samping cadangan sistem pilihan raya alternatif kepada sistem yang ada sekarang.

Penulis ialah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif, Electoral Reform Committee (ERC).

(PENAFIAN : Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya menggambarkan kenyataan rasmi portal Naluri Bangsa)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *