Mampu Kaut Untung Sehingga RM5,000 Sehari Dari Judi Online

Mampu Kaut Untung Sehingga RM5,000 Sehari Dari Judi Online

Mampu mengaut keuntungan mencecah antara RM2,000 hingga RM5,000 sehari, itulah kegiatan 10 individu yang disyaki terlibat sindiket perjudian dalam talian.

Selain mempromosi dan menawarkan kegiatan berkenaan, sindiket berkenaan dikesan aktif beroperasi sejak lapan bulan lepas di dua buah kondominium, di Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Abd Khalid Othman berkata dalam operasi petang semalam, pihaknya menahan lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan, berusia lingkungan 18 hingga 33 tahun di kedua-dua premis itu.

Beliau berkata, sindiket berkenaan beroperasi selama 24 jam dan mereka dibayar sekitar RM1,500 dan RM3,000 sebulan, bagi menjalankan kegiatan haram itu.

“Kami telah merampas tiga set komputer, empat buah komputer riba, 20 unit telefon bimbit, dua buah modem, satu unit router, empat keping kad BigPay dan satu pemacu pena di kedua-dua premis berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(a), 41(g) dan 41(c) Akta Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi dalam talian,” katanya.

Abd Khalid berkata, permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *