Kadar Pengangguran Di Malaysia Tak Seteruk Negara Lain – Menteri

Kadar Pengangguran Di Malaysia Tak Seteruk Negara Lain – Menteri

 

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata kadar pengangguran 4.8% yang dicatatkan Malaysia pada Februari lebih baik daripada negara lain.

Beliau memberi contoh kadar pengangguran di Filipina pada tahap 8.7%, India (6.9%) dan malah Amerika Syarikat (6.2%).

Katanya, kadar itu lebih baik daripada 5.3% yang direkodkan pada Mei 2020 dan Malaysia bukan satu-satunya negara yang menghadapi kemerosotan ekonomi pada 2020.

“Jika kita lihat pada 2020, sebenarnya ada 150 negara yang menghadapi penguncupan. Ini bukannya krisis ekonomi Malaysia, ini ialah krisis ekonomi global,” katanya dalam program “Bicara Naratif” RTM.

“Apa yang penting ialah melalui Majlis Pekerjaan Negara, kami cuba melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam negara,” katanya sambil menambah kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan baru tahun ini.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan mengumumkan jumlah individu yang diambil bekerja di Malaysia meningkat untuk tiga bulan berturut-turut, dengan 33,000 orang menyertai pasaran buruh Februari lalu.

Katanya, kadar pengangguran menurun kepada 4.8% pada bulan sama, iaitu berkurangan 0.1% berbanding Januari lalu.

Jabatan itu mendapati kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 0.4% kepada 13.9% atau 347,600 orang pada Februari lalu.

Ini ialah peningkatan sebanyak 52,400 orang berbanding 295,300 orang pada Januari lalu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *