Tidak Berasas KKM Nak Manipulasi Data COVID-19, Kata Ismail Sabri

Tidak Berasas KKM Nak Manipulasi Data COVID-19, Kata Ismail Sabri

Dakwaan segelintir pihak bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) memanipulasi jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini tidak berasas.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata isu itu tidak timbul kerana KKM menerima laporan daripada setiap jabatan kesihatan negeri mengenai kes Covid-19 di lokasi masing-masing setiap hari.

“Saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat laporan (manipulasi data) kes Covid-19 ini.

“KKM akan maklumkan jumlah kes positif harian setiap pukul 12 tengah hari, hasil daripada jumlah yang diberikan oleh setiap negeri,” katanya, menurut laporan Bernama.

Ismail berkata, terdapat peningkatan kes berdasarkan permintaan penggunaan hospital, katil di hospital serta kemasukan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) bertambah.

Katanya, peningkatan kes tidak hanya berlaku di negara ini sahaja tetapi di seluruh dunia malah beberapa negara di Eropah telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan berikutan peningkatan kes.

Beliau turut memberi peringatan, sebarang dakwaan tidak benar mengenai isu Covid-19 boleh dikenakan tindakan oleh polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *