Zahid Persoal Angka Kes Harian COVID-19 Betul Atau Tak?

Zahid Persoal Angka Kes Harian COVID-19 Betul Atau Tak?

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan peningkatan kes Covid-19 yang luar biasa yang diumumkan dari hari ke hari oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau musykil sama ada angka-angka yang dikeluarkan sahih atau tidak.

“Laporan kes harian Covid-19 ketika ini dilihat mencanak-canak naiknya ibarat bedilan roket membelah angkasa.

“Saya tertanya-tanya mengenai kebenaran dan kesahihan angka yang dilaporkan KKM?” tanyanya dalam satu tulisan di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mempertikaikan data yang diperolehi oleh pihak kementerian, yang membawa kepada angka-angka kes Covid-19 yang dikeluarkan setiap hari.

“Dari mana datangnya data berkaitan statistik itu?

“Adakah data itu benar dan siapa yang mengesahkan angka kes itu benar? Benarkah atau tidak benar? Bukan apa rakyat begitu bimbang menyaksikan laporan harian Covid-19 yang meningkat secara tiba-tiba.

“Ramadan baru hari keenam. Jangan pula dikaitkan dengan bazar Ramadan atau terawih,” katanya.

Malaysia mencatatkan lebih 2,000 kes setiap hari sepanjang empat hari lalu, antara Khamis hingga Ahad.

“Adakah akan dibiarkan sehingga 5,000 hingga 6,000 kes sehari?

“Atau juga tiada kes tetapi diberitahu jumlahnya tinggi sekali gus menggusarkan orang ramai?

“Saya hanya bertanya dan tidak sesekali menuduh,” tambah Zahid.

Zahid melontarkan pertanyaan ini ketika kes jangkitan Covid-19 terus meningkat pada kadar empat angka sehari biarpun Putrajaya mengenakan perintah darurat untuk menangani pandemik sejak 11 Januari lalu.

Putrajaya juga melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pusingan kedua di seluruh negara dua hari berikutnya selepas perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Biarpun dalam PKP, Putrajaya kemudian membenarkan hampir semua kegiatan ekonomi beroperasi semula namun mengekalkan larangan pergerakan rentas negeri.

Zahid khuatir angka jangkitan harian yang tinggi dari hari ke hari ini hanya helah dan mungkin “dijadikan modal untuk memanjangkan tempoh darurat.”

Darurat ditetapkan berakhir pada 1 Ogos ini. –TMI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *