Penganalisis Lihat Tok Mat Diperlukan Untuk Pulihkan Umno

Penganalisis Lihat Tok Mat Diperlukan Untuk Pulihkan Umno

Cakap-cakap mengenai “kerajaan gagal” yang tersebar di media sosial mendedahkan keperluan kepimpinan politik yang berkebolehan, kata penganalisis yang menggesa pemimpin Umno supaya mengetepikan perbalahan dalaman mereka, sekali gus menamakan individu tepat untuk memimpin parti itu.

Mereka berkata, tanda pagar terbaru di media sosial, iaitu KerajaanGagal, menunjukkan rakyat mencari-cari pemimpin yang berkebolehan untuk memulihkan semula ekonomi dan menangani lonjakan kes jangkitan Covid-19, terutamanya selepas kerajaan berjanji untuk mengurangkannya menjelang Mei ini.

“Tetapi angka jangkitan terus bertambah,” kata felo Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir.

“Ini menunjukkan strategi kerajaan tidak berkesan dan komitmen serta strategi lebih tepat diperlukan bagi mengurangkan kes Covid-19 dan memperbaiki keadaan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Jumlah jangkitan Covid-19 kini melebihi angka 2,000 kes walaupun pada Januari kerajaan menjangka jumlahnya akan menurun kepada dua angka.

Jeniri berkata, pemimpin Umno perlu mengetepikan “agenda politik peribadi” dan menamakan individu tepat untuk memimpin parti itu.

Beliau berkata, lebih lambat Umno melalui perubahan, maka parti itu akan menjadi lebih lemah.

“Perbalahan dalaman yang berlaku melumpuhkan Umno, terutama sekali dalam kalangan sesetengah menteri Umno dan anggota Majlis Kerja Tertingginya,” katanya.

Pilihan terbaik untuk mengetuai parti itu ialah pemimpin nombor duanya, iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, yang popular dengan panggilan Tok Mat.

Jeniri berkata, orang Melayu mengharapkan hala tuju baharu dalam kepimpinan.

“Muka baharu akan menyegarkan semula parti, tetapi komitmen daripada pemimpin lain sangat diperlukan bagi memungkinkan perubahan berlaku.”

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi harus berjiwa besar dan melepaskan kedudukan itu kepada Tok Mat bagi memulakan perubahan dalam parti, kata beliau.

Zahid merupakan timbalan perdana menteri dalam Kabinet Najib Razak, namun beliau berdepan beberapa kes di mahkamah dan Umno memerlukan calon alternatif.

Kenapa Tok Mat?

Jeniri berkata, Tok Mat mampu membawa perubahan dalam Umno dan juga kerajaan kerana beliau diterima oleh semua, termasuk kumpulan minoriti.

“Kenyataan beliau mengenai ekonomi dan politik selari dengan harapan ramai orang,” katanya, selain menambah bahawa di Sarawak, Tok Mat menjadi pilihan untuk memimpin Umno.

“Rakyat Sarawak memandang tinggi Tok Mat. Kami melihatnya sebagai individu yang mampu menyatukan semua orang dan memulihkan ekonomi,” katanya.

Jeniri berkata, ahli Umno sedar mengenai rekod cemerlang Tok Mat sebagai menteri besar Negeri Sembilan, selain memimpin dan menstabilkan parti itu ketika Zahid bercuti enam bulan pada 2018.

“Beliau berjaya memimpin Umno dengan kenyataan yang masuk akal sepanjang enam bulan itu,” katanya.

Mohamad kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau untuk penggal keempat.

Pengalaman 20 tahun beliau dalam dunia korporat dilihat sebagai faktor penyumbang utama kepada kejayaan kepimpinannya.

Antara dasar penting yang pernah dilaksanakannya ialah mengehadkan tempoh jawatan exco negeri kepada dua penggal.

Semasa kepimpinan beliau, kadar pertumbuhan ekonomi negeri ialah masing-masing sebanyak 5.2% dan 6.2% pada 2011 dan 2012.

Sebelum pilihan raya umum 2018, Mohamad berkata, beliau telah mengurangkan hutang kerajaan negeri kepada Putrajaya daripada RM2 bilion kepada RM700 juta, menambah rizab tunai kepada RM500 juta dan menggubal pelan pembangunan 30 tahun negeri.

Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Umno tidak akan bertahan, melainkan parti itu melalui perubahan.

“Kenapa tidak beri peluang kepada Tok Mat? Beliau boleh memulihkan maruah dan integriti yang sangat diperlukan oleh Umno sekarang. Beliau diterima oleh semua kaum, selain tidak berdepan apa-apa kes di mahkamah,” katanya kepada FMT.

Beliau berharap Umno tidak melengahkan pembaharuan yang sangat diperlukan oleh parti itu, selain membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi berkata, rakyat akan menilai parti politik berdasarkan calon mereka.

“Rakyat mahukan pemimpin yang sederhana dan boleh bergaul mesra dengan mereka. Tok Mat ada sifat itu. Beliau tidak sombong,” katanya.

Bagaimanapun Tok Mat perlu bertanding di kerusi Parlimen sekiranya beliau mahu memimpin Umno dalam pilihan raya umum akan datang. -FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *