Musuh Utama Negara Bukan Saja Covid, Ahli Politik ‘Kluster Mahkamah’ Juga – Ahli Bersatu

Musuh Utama Negara Bukan Saja Covid, Ahli Politik ‘Kluster Mahkamah’ Juga – Ahli Bersatu

Selain ancaman Covid-19, “kluster mahkamah” yang terdiri daripada sekumpulan ahli politik juga adalah musuh utama negara ketika ini, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman.

Katanya, “kluster mahkamah” itu berselindung di sebalik perjuangan ketuanan Melayu sebagai tirai untuk melindungi ketamakan dan kepentingan peribadi, sama seperti modus operandi kartel tender yang dibanteras Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Mereka jugalah antara pengkhianat bangsa yang sanggup menggadai kepentingan negara dan hak Bumiputera serta muslim hingga Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamatnya. Mereka ini kita kenali sebagai ‘kluster mahkamah’,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Sinar Harian.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut siapa ahli politik dimaksudkannya sebagai “kluster mahkamah” itu.

Antara ahli politik yang kini berdepan perbicaraan di mahkamah ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden parti itu, Najib Razak.

Faiz berkata, berkemungkinan “kluster mahkamah” itu yakin rakyat khususnya orang Melayu boleh ditipu berulang kali dengan nada simpati dan provokasi isu sensitif.

“Di sebalik kewaspadaan kita mengenai Covid-19, terselit watak-watak oportunis yang terus berdrama mahu menimbulkan ketidakstabilan dalam politik negara.

“Siapa watak-watak terdesak itu? Mereka adalah watak yang sama pernah menyamun wang rakyat hingga sarat dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa ketika berkuasa dominan dahulu.

“Walaupun ada yang telah dijatuhi hukuman bersalah kerana korupsi, kelompok “kluster mahkamah” ini masih tebal muka berbicara soal agama dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata, “kluster mahkamah” menggunakan propaganda kononnya Melayu tiada pilihan lain untuk selamat kecuali berada bawah cengkaman mereka kembali seperti sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *