Menteri Kesihatan Nafi Agong Dicucuk Vaksin Tak Sah

Menteri Kesihatan Nafi Agong Dicucuk Vaksin Tak Sah

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan laporan portal berita Asia Sentinel yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah divaksin dengan vaksin SinoPharm yang masih tidak diluluskan penggunaannya di Malaysia.

Mempersoalkan sumber cerita yang diperoleh oleh penulis portal berita yang berpusat di Hong Kong itu, Dr Adham Baba juga menyifatkan bahawa penulis cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia selain menegaskan bahawa laporan itu adalah tidak berasas.

“Dari mana penulis mendapatkan sumber ceritanya? Beliau cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap Malaysia.”

Menurut beliau, pembelian vaksin di negara ini perlu melalui penilaian ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terlebih dahulu.

“Selepas penilaian yang ketat, ia kemudian perlu mendapat persetujuan daripada Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19. Bukan hanya itu, kami memastikan semua vaksin yang dibeli selamat.”

Laporan Asia Sentinel yang diterbitkan dua hari lalu mendakwa, Seri Paduka Baginda termasuk pemimpin tertinggi di Malaysia seperti Dr Adham, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun telah divaksin dengan vaksin SinoPharm yang diperoleh dari Putera Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohamed Nayan, yang juga merupakan rakan sekelas YDPA semasa belajar di UK.

Laporan itu turut mendakwa Agong diberikan tambahan 2,000 dos vaksin untuk kegunaan keluarga dan rakan Baginda.

Setakat ini, pihak polis masih tidak menerima laporan mengenai perkara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *