Polis Siasat Iklan Aidilfitri Promosi Judi

Polis Siasat Iklan Aidilfitri Promosi Judi

Polis akan memanggil penerbit dan pelakon yang terlibat dalam iklan Aidilfitri yang mempromosi judi untuk diambil keterangan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Acryl berkata, satu laporan polis sudah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi menyiasat asal usul video berkenaan yang mula tular di laman sosial sejak semalam.

“Isi kandungan video ini didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran orang awam,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan akan menjurus kepada penerbit dan pelakon-pelakon yang terlibat di dalam video ini, dan mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.”

Acryl berkata, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dihubungi bagi membantu siasatan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak berkongsi atau menyebarkan video ini menerusi media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” tambahnya.

Semalam, tular video berdurasi dua minit yang dikatakan mempromosikan perjudian atas talian.

Hari ini, beberapa pemimpin politik dan badan bukan kerajaan mendesak SKMM dan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyebaran video berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *