Daulat Itu Pada Raja-Raja, Bukan Demokrasi – Ahli Akademik

Daulat Itu Pada Raja-Raja, Bukan Demokrasi – Ahli Akademik

Sumpah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan syarat kepada YDPA untuk memulakan fungsi.

Kandungan sumpah merupakan perkara pokok kerana sumpah meletakkan Perlembagaan kita berpihak dan bukan neutral dan sudah pasti bukan sekular, jelas Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain.

“Jika sekiranya berlaku darurat sekalipun, tidak boleh disentuh peruntukan yang menyentuh agama Islam, bahasa dan kewarganegaraan menunjukkan bahawa Islam merupakan prinsip sebenar yang mentakrifkan kedaulatan Raja-Raja.”

Ini yang meletakkan “rule of law”, kedaulatan undang-undang di Malaysia, ujar Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu lagi.

Kata Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi, dalam falsafah undang-undang, kedaulatan itu dikatakan Supreme Authority.

“Kuasa Agung yang menentu sah tidak sahnya suatu undang-undang pada kerangka kedaulatan kerana kedaulatan ini kuasa tertinggi sama ada kedaulatan itu terletak pada Tuhan ataupun kedaulatan itu terletak pada manusia.”

Tambah beliau, terdapat dua kerangka besar falsafah undang-undang iaitu kontinum dan dikotomi.

“Kalau kontinum, ia berasaskan pada agama. Jadi kita lihat dalam peruntukan perkara 181, sebagaimana yang telah ada dan diamati sehingga kini tetap dan tidak terjejas.”

“Kedaulatan itu hendaklah kekal pada DYMM Raja di negeri itu mengikut adat Melayu”.

“Jadi sumber yang ada sejak dari nabi Adam sama ada bersandar pada hukum syara’ dan juga adat ketika nabi Adam dan undang-undang ini berterusan sehingga kita pada hari ini”.

Menurut Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi lagi, undang-undang Sivil wujud kerana, apabila manusia memisahkan ajaran agama, mereka melahirkan satu kerangka pemikiran dikotomi yang berasaskan kepada jalan biasa.

“Maksudnya suara majoriti dan ini dikatakan sebagai kontrak sosial ataupun demokrasi yang sebenarnya kerangka kedaulatan barat yang meletakkan manusia ini boleh mensyirikkan Allah SWT.”

“Bagi mereka yang meletakkan kedaulatan itu berpaksikan pada manusia, yang kini dikenali dengan nama demokrasi, apa sahaja manusia setuju dengan permuafakatan ramai di dalam satu bentuk dewan perundingan maka itu ada rule of law.”

Justeru, kata beliau, Perlembagaan Malaysia jelas meletakkan kedaulatan pada Raja-Raja dan bukan demokrasi. Sementelah pula perkataan demokrasi tidak disebut dalam Perlembagaan negara.

Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi merupakan antara ahli panel jemputan “Wawancara Kenegaraan Untuk Pengukuhan Agama, Bangsa dan Tanah Air” anjuran Jabatan Mufti Negeri Pahang dengan kerjasama Sekretariat Muwosalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *