DAP Perlu Beri Muka Baru Pimpin Jika Taknak Terlalu Kecinaan – Pemerhati

DAP Perlu Beri Muka Baru Pimpin Jika Taknak Terlalu Kecinaan – Pemerhati

 

Penganalisis politik berpendapat veteran DAP, Lim Kit Siang perlu berundur daripada parti itu jika mahu DAP disuntik semangat baru yang lebih terbuka kepada semua kaum.

Azmi Hassan berkata, pemimpin generasi muda juga perlu diberi muka supaya kepimpinan DAP disuntik nafas baru, sekali gus menyingkirkan stigma masyarakat terhadap parti itu yang “terlalu kecinaan”.

“Jikalau DAP mahu menggambarkan parti itu menerima kemasukan selain orang Cina, seharusnya Lim Kit Siang berundur dan tidak bertanding kerana beliau dengan ‘kecinaan’ itu ada sinonimnya… ada stigmanya.

“Peluang kepada anak muda seharusnya diberikan supaya beri nafas baru kepada DAP dan untuk dibuang stigma kecinaan itu mereka memerlukan pemimpin baru kerana Kit Siang sinonim dengan DAP yang ada mengatakan bahawa parti itu hanya perjuangkan kepentingan orang Cina,” katanya kepada FMT.

Semalam, Kit Siang menyatakan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada Jun ini, namun tidak mengharapkan sebarang jawatan tertinggi.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk dikalahkan dalam pemilihan parti itu.

Berucap dalam satu majlis di Kuala Lumpur, malam kelmarin, beliau turut menuntut supaya orang Cina di negara ini, seperti mana-mana kaum, agama, bahasa, budaya lain, dilayan sama seperti rakyat kelas pertama.

Mengulas lanjut, Azmi berkata hasrat Kit Siang itu berkait rapat dengan polemik yang melanda DAP ketika ini, iaitu perpecahan dua kumpulan yang mahu DAP dilihat bersifat lebih kecinaan, manakala satu lagi mahu parti itu lebih terbuka kepada semua kaum.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua membidas rakan parti mereka, Ronnie Liu atas kenyataannya bahawa DAP tidak boleh “mencairkan kecinaannya” dan tidak dapat menggambarkan dirinya sebagai “parti bukan Cina”.

Mengenai tuntutan Kit Siang yang mahu orang Cina dilayan kelas pertama, Azmi berkata, ia bersifat berat sebelah dan tidak betul kerana tiada layanan kelas pertama atau kelas kedua terhadap mana-mana kaum di negara ini.

“Walaupun tidak disebut orang Melayu mendapat layanan kelas pertama, tetapi ini adalah persepsi berat sebelah dan tidak betul.

“Bagi saya, adanya keistimewaan orang Melayu itu tidak memberi gambaran bahawa bangsa lain dilayan kelas kedua.

“Inilah yang dikatakan Kit Siang cuba membawa perjuangan DAP lebih kepada perjuangan orang Cina itu sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia turut beranggapan pemimpin yang sudah berkecimpung dalam arena politik melebihi 50 tahun tidak lagi relevan dengan tuntutan zaman kini.

“Politik hari ini dilihat progresif, pantas dan berkembang sesuai dengan zaman. Maka sudah pasti orang muda perlu diberi peluang menerajui kepimpinan baharu,” katanya.

Beliau berkata, parti yang masih mengekalkan muka lama atau mengitar semula pemimpin lama akan berdepan masalah dari segi dinamika parti itu sendiri dan dianggap “parti dinasour”.

“Ini kerana orang muda pada hari ini mempunyai pemikiran lain. Parti yang masih mengekalkan pemimpin lama ini dianggap ‘parti dinasour’. Ini mungkin melibatkan mana-mana parti, termasuk DAP sekiranya mereka tidak memberi peluang kepada orang muda,” katanya.

Mazlan berkata, hasrat Kit Siang untuk bertanding hanyalah bagi mengekalkan dominasi dan pengaruh beliau dalam DAP yang dianggotainya sejak 55 tahun dahulu.

“Ini memberi gambaran DAP selama berdekad terus berada dalam kawalan ataupun pengaruh keluarga beliau.

“Ini berikutan peranan besar yang dimainkannya dan kemudian legasi itu disambung oleh anaknya, Lim Guan Eng sebagai setiausaha agung parti,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *