‘Sesiapa Yang Berpijak Di Bumi Malaysia Harus Sedar Diri’ – Sarimah Ibrahim

‘Sesiapa Yang Berpijak Di Bumi Malaysia Harus Sedar Diri’ – Sarimah Ibrahim

 

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Itu peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan luahkan selebriti versatil, Che Puan Sarimah Ibrahim berhubung isu tidak tahu berbahasa Melayu dalam kalangan segelintir orang Malaysia yang sedang hangat diperkatakan dalam Twitter.

Wanita kelahiran Dublin, Ireland itu menegaskan, sesiapa sahaja yang berpihak di bumi Malaysia seharusnya sedar diri, berasa bangga dan tidak malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

“Apa pulak cerita tak nak cakap BM kononnya tak cukup ‘atas’.

“Helo, cuba sedar sikit kaki tu berpijak di ‘atas’ tanah mana! OMG! Kita patut bangga!,” tempelaknya dalam satu ciapan dalam Twitter.

Sarimah, 43, juga tampil mempersoalkan kerelevanan sesetengah rakyat Malaysia yang berasakan pertuturan dalam bahasa Melayu seperti tiada kelas.

“Saya tak tahu tentang orang lain tapi saya berasa sangat bangga apabila bercakap dalam bahasa Melayu (BM). Saya hanya bersekolah lima tahun di sekolah kebangsaan (SK) dan selebihnya di luar negara,” katanya yang cukup sinonim sebagai hos Anugerah Juara Lagu ketika di puncak populariti.

Pengacara, pelakon dan penyanyi Malaysia berbintang Aquarius kacukan Melayu-Irish itu mengakui menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan sehariannya bersama rakan-rakan.

“Tengok saya cakap dengan penuh BM bersama rakan-rakan saya. Gua memang suka wei, bangga siut,” ciap Sarimah yang pernah mendapat pendidikan awal di Emirates International School, Dubai dan Wesley College Dublin.

Pencapaian akademik tertingginya ialah Advanced Dip. Psychology (HELP University & College of Applied Arts Singapore).

Sarimah kini bergelar ibu kepada Tunku Sofia Najihah, 2, hasil perkahwinannya dengan dengan cucu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau Tunku Jamie pada 2 April 2015.

Terdahulu, segelintir netizen mencetuskan provokasi di Twitter yang bermula dengan ciapan seorang pengguna laman sosial menceritakan pengalamannya berdepan seorang wanita berketurunan Cina yang tidak faham pertuturannya ketika sedang menaiki lif.

TANGKAP layar perdebatan netizen dalam Twitter berhubung isu penggunaan bahasa Melayu.
TANGKAP layar perdebatan netizen dalam Twitter berhubung isu penggunaan bahasa Melayu.

Ciap individu tersebut: “Dalam lif, ada perempuan Cina masuk. Sebagai seorang lelaki budiman, saya tanya: ‘Tingkat mana, cik?’”

Wanita itu membalas: “Sorry I don’t understand what are you saying (Maaf saya tidak faham apa yang anda katakan)”

Lebih mengeruhkan keadaan apabila seorang lagi pengguna Twitter bertindak membalas (sub-tweet) ciapan berkenaan dengan mengatakan, bawah Perlembagaan Persekutuan, tiada keperluan langsung rakyat Malaysia untuk bercakap bahasa Melayu.

“There is no requirement for a Malaysian to speak Malay – at all. (Tiada keperluan untuk rakyat Malaysia bercakap bahasa Melayu langsung)

“Zero. As long as you have a blue IC, you are a citizen of Malaysia. (Kosong. Selagi anda ada kad pengenalan berwarna biru, anda warganegara Malaysia).

Pengguna Twitter itu turut mendakwa, idea untuk rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu bercakap dalam BM ialah sesuatu yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika pemerintahan pertamanya.

“Ironinya, dia (Tun) tidak langsung seorang Melayu – dia orang India,” ciap individu itu dengan yakin. K Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *