Perlukah Presiden Umno Letak Jawatan?

Perlukah Presiden Umno Letak Jawatan?

Dua presiden parti popular di negara ini sedang alami isu yang berkait. Presiden Umno dan Presiden PKR masing-masing dituduh melakukan hubungan kerjasama politik antara dua parti bermusuh itu.

Ia tersebar melalui rakaman audio perbualan telefon yang cukup menyerupai suara kedua-dua mereka. Sudah tentu dalam dunia penuh teknologi tinggi dan aplikasi yang menjangkau keterbatasan fikiran, kita mudah untuk menjejak kesahihan seseuatu audio atau video yang tular.

Namun, kedua-dua mereka telah menafikan dan masing-masing meminta pegawai mereka membuat laporan polis mengenai tuduhan tidak berasas itu.

Apapun tindakan, ternyata dalam isu ini, Presiden Umno menerima tempias lebih buruk berbanding Presiden PKR yang wataknya sering dilihat sebagai ‘bad boy’ dalam politik tanah air.

Apatah lagi keputusan musyawwarah parti Umno adalah jelas iaitu ‘No DAP, No Anwar, No Bersatu’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) akan datang.

Sebenarnya tidak salah jika Presiden Umno menelefon atau berborak dengan mana-mana parti lawan. Itu adalah hak peribadi beliau, malah tiada sebarang undang-undang dilanggar sekiranya Presiden Umno berbuat demikian.

Yang menjadi salahnya apabila jika ada sebarang pecah amanah terhadap keputusan parti berkenaan, lebih-lebih lagi dari presiden sendiri, maka ia suatu yang tak boleh diterima akal. Ditambah pula jika ia dilakukan secara rundingan rahsia tanpa pengetahuan sesiapa – melainkan hanya mereka berdua.

Untuk isu ini, sudah tentu Presiden Umno akan terus didesak melepaskan jawatannya segera kerana ‘dosa-dosa’ pelanggaran kepada keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu berseteru dengan DAP, Anwar dan Bersatu dalam pilihan raya mendatang.

Ini juga menjadi peluru bagi para musuh Umno untuk terus membenamkan parti berkenaan supaya tidak lagi dapat bangkit menjadi kuasa penentu pasca PRU15.

Ternyata ia bagaikan ‘berpatah arang, berkerat rotan’ kepada kebanyakan ahli Umno dan mereka yang bermusuh dengan parti itu.

Presiden Umno sudah makin kurang pilihan untuk memilih. Andai beliau ingin teruskan mentadbir parti, fokus beliau akan tersasar kerana terpaksa urus serangan desakan terhadap beliau untuk meletak jawatan.

Sekiranya beliau bersetuju untuk percepatkan proses pemilihan parti sebelum PRU15, beliau berhadapan dengan tentangan dari beberapa ‘warload’ yang akan tampil menentangnya sebagai calon presiden.

Tidak mustahil beliau akan kalah dalam pemilihan akan datang sekiranya isu ini tidak diurus dengan sehabis baik.

Justeru, buatlah yang terbaik untuk kemaslahatan parti secara umum. Kembali kepada pandangan dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akar umbi untuk membuat keputusan rasmi. Yang penting, keputusan itu haruslah bertujuan mengelak dari Pakatan Harapan yang dikuasai DAP untuk terus berkuasa.

Selamatkanlah Umno daripada terus menjadi mangsa buli dengan apa cara sekali pun yang boleh diambil.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *