“RM2,000 Gaji Permulaan Untuk Graduan Sudah Ideal”

“RM2,000 Gaji Permulaan Untuk Graduan Sudah Ideal”

Gaji permulaan RM1,000 untuk graduan? Cukup ke RM1,000?

Adakah ia berpunca daripada keadaan ekonomi semasa negara atau ada majikan ambil kesempatan untuk ‘memeras’ pencari kerja.

Ramai meminta kerajaan supaya mengambil langkah perlu bagi memastikan lepasan institusi pengajian tinggi ini menerima gaji yang selayaknya dengan pencapaian serta bidang pengkhususan mereka.

Ikuti wawancara Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) JUFITRI JOHA bersama wartawan, MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengulas isu ini.

 

Pandangan tentang gaji minimum graduan dalam lingkungan RM1,000 hingga RM1,500.

MBM memperjuangkan gaji minimum, tetapi terlebih penting gaji bermaruah yang mana seseorang itu menerima gaji setimpal yang membolehkan mereka hidup sedikit selesa, boleh membeli barang keperluan harian, cukup membayar hutang dan mampu menabung untuk masa depan.

Ini penting kerana golongan ini baru mula membina kerjaya dan kehidupan. Sudah pasti mereka mempunyai komitmen tertentu dan kita sangat mengharapkan kerajaan dapat melakukan sesuatu berkaitan isu gaji minimum ini.

Apa yang lebih penting, biarlah graduan dibayar gaji dengan wajar sesuai kelulusan mereka, bidang mereka dan kepakaran yang boleh ditawarkan kepada organisasi berkaitan.

Bagaimana MBM melihat kemelut isu gaji ini?

Seperti saya sebut, ini adalah gaji minimum, tetapi kepada majikan yang berkemampuan, disyorkan mereka memberi gaji bermaruah kepada graduan.

Pada masa sama, graduan juga mesti meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja kerana saya yakin, majikan tidak akan teragak-agak menaikkan gaji dalam tempoh yang singkat bagi pekerja yang berdisiplin, rajin, beretika dan mendatangkan keuntungan selain produktiviti kepada organisasi.

Apa yang kita risaukan ialah jika keadaan gaji ini kekal lama. Kerajaan harus mencari jalan selaras menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Majikan beri alasan ekonomi kurang memberangsangkan untuk tawar gaji rendah.

Untuk meletakkan 100 peratus alasan kepada faktor kelembapan ekonomi semasa adalah tidak memadai walaupun ia satu alasan yang absah.

Kita perlu juga melihat kepada kestabilan politik yang menjadi teras utama kepada kestabilan ekonomi.

Bila politik tidak stabil maka kita tidak boleh merancang pelbagai agenda penting ke depan termasuk agenda tangga gaji dan tambah merisaukan, bila para pelabur lari akibat tidak ketentuan politik.

Kami berharap pihak berkaitan dapat memikirkan mekanisme khusus untuk mengatasi masalah gaji rendah ini.

Gaji ideal untuk graduan?

Gaji yang dicadangkan melalui Kajian Belanjawanku Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2019 ialah bagi yang bujang, tidak berkenderaan dan tinggal di Lembah Klang, gaji ideal ialah RM1,870.

Berdasarkan petunjuk ini, disyorkan RM2,000 sebagai gaji purata ideal permulaan untuk siswazah yang baru memasuki alam pekerjaan.

Bagi tangga gaji ini, mereka dinasihati supaya meningkatkan etika dan disiplin kerja serta hidup sederhana.

Meletakkan had tertentu dalam gaji minimum penting kerana kita tidak mahu berlaku jurang dalam kalangan graduan.

Mungkinkah majikan akan menaikkan gaji apabila ekonomi pulih dan mungkin perlu diletakkan satu garis masa khusus?

Kerajaan perlu memainkan peranan melalui Majlis Perundingan Gaji Negara dan Akta Gaji Minima untuk berunding dan menguatkuasakannya bagi membela nasib pekerja.

Kesatuan sekerja dan kesatuan majikan harus mencapai kesepakatan untuk sama-sama menjayakan agenda ini dengan melihat kekangan dan cabaran di kedua-dua pihak.

Pekerja juga harus tahu hak mereka dan perlu aktif bersama kesatuan sekerja untuk memperjuangkan hak mereka jika ada unsur manipulasi.

Kita juga percaya ramai majikan yang pemurah dan tidak teragak-agak menaikkan gaji pekerja yang berdisiplin dan produktif walaupun mereka baru bekerja setahun dua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *