Berdasarkan Pengalaman, Azmin Yakin Rakaman Audio Anwar Itu Sahih

Berdasarkan Pengalaman, Azmin Yakin Rakaman Audio Anwar Itu Sahih

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin rakaman audio perbualan antara dua individu yang mirip suara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kini tular di media sosial adalah sahih.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, keyakinan itu berdasarkan pengalamannya bekerja dengan Anwar sebelum ini termasuk pernah menjadi Setiausaha Sulit pemimpin itu.

Katanya, kedua-dua individu dalam rakaman audio itu kini perlu berlaku jujur kepada ahli parti mereka.

“Saya lama berkhidmat dengan Anwar sekian lama dan pernah menjadi Setiausaha Sulit beliau.

“Saya yakin itu adalah rakaman sahih yang akan dibuktikan melalui penyiasatan yang akan dilakukan.

“Kita berharap kedua-dua individu ini perlu jujur, sekurang-kurangnya kepada ahli parti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir menyempurnakan Program Semarak Malaysia Prihatin dan Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadhan di Masjid Gombak Utara di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Hilman Idham.

Mohamed Azmin diminta mengulas audio perbualan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar yang tersebar sejak Selasa lalu antara lain berkisar soal perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini yang menyentuh pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu, PKR, DAP dan Anwar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, dipersetujui sebulat suara perwakilan PAU.

Rakaman audio sepanjang 4.16 minit itu turut menyentuh pendirian menteri daripada UMNO yang didakwa tidak berani meletak jawatan disandang, serta persetujuan Ahmad Zahid diberi kuasa oleh perwakilan PAU untuk menentukan tempoh menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR menyifatkan Tindakan Anwar itu sebagai pengkhianatan terbesar kepada partinya dan juga DAP serta Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Saya kira ini adalah pengkhianatan terbesar dilakukan Anwar, bukan sahaja kepada parti sendiri tapi juga kepada anggota komponen Pakatan Harapan (PH) kerana secara sulit menjalankan rundingan dan perbincangan.

“Kita menuntut siasatan segera dijalankan. Ini akan memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk membela diri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 22 masjid dan 106 surau di kawasan Parlimen Gombak menerima sumbangan bantuan sempena Ramadan.

Kira-kira RM1 juta sumbangan disalurkan bagi membantu masjid dan surau sepanjang Ramadan ini. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *