Kluster Pendidikan Masih Meningkat – Dr Adham

Kluster Pendidikan Masih Meningkat – Dr Adham

Kluster Covid-19 melibatkan sektor pendidikan menunjukkan peningkatan, berikutan penularannya dikaitkan dengan jangkitan rakan sekerja dan sosial.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara kini digerakkan ke sekolah sebaik menerima laporan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) jika ada kes positif Covid-19.

Katanya, PKD dikerahkan ke sekolah untuk melakukan pemeriksaan dan akan mengeluarkan nasihat sama ada kelas atau sekolah berkenaan perlu ditutup untuk kerja penyelenggaraan serta menyahkuman.

“Kita dapati kluster Pendidikan ini dikaitkan dengan jangkitan oleh guru atau pelajar berkenaan menerusi rakan sekerja atau rakan sosial mereka di luar, tetapi ia dibawa ke sekolah dan dijangkiti.

“Kita menasihatkan penyelia sekolah supaya melakukan kerja membersihkan kawasan itu dengan PKD akan membuat penilaian risiko secara menyeluruh bagi memastikan kes serta kluster itu dapat dikawal sebaik mungkin.

“Apabila penyelenggaraan selesai dijalankan, barulah kelas atau sekolah berkenaan boleh dibuka semula untuk sesi pembelajaran.

“Pentingnya proses pemantauan itu dilakukan berterusan oleh pihak sekolah dengan guru, murid, pekerja dan pengawal keselamatan sekolah mengamalkan normal baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan bersama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini.

Berhubung penularan Covid-19 bagi gelombang ketiga ini, Dr. Adham berkata, kerajaan menerusi beberapa agensi pengkuatkuasaan menekankan SOP yang ketat.

Ujar beliau, pematuhan kepada SOP secara berterusan seperti tidak melakukan aktiviti rentas negeri dan daerah, antara bukti pencegahan dapat dilakukan dan berkesan daripada penularan.

Katanya, larangan atau mengehadkan pergerakan itu, secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko jangkitan daripada terus menular atau dijangkiti. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *