Boleh Balik Kampung Untuk Beraya Jika Kes Sudah Cecah 100 Sehari

Boleh Balik Kampung Untuk Beraya Jika Kes Sudah Cecah 100 Sehari

TIDAK lama lagi, kita akan memasuki bulan Ramadan. Sudah berbunyi di sana sini masing-masing mahu ambil berkat tarawih dan pulang ke kampung halaman.

Rata-rata mahu melayan emosi rindu, sedih dan sebagainya. Hati sudah mula meronta-ronta menangis hendak balik ke desa tempat dilahirkan.

Sebagai rakyat yang waras dan tidak bersandarkan emosi, apa yang paling utama bagi kita sekarang?

Adakah kesihatan diri dan nyawa atau makan ketupat dan rendang di kampung halaman? Virus Covid-19 tetap bahaya walau ketika musim raya atau bulan puasa.

Penyakit ini lebih mudah berjangkit dan lebih berbahaya berbanding influenza lain dan pesakit yang telah pulih masih menanggung kesan seperti sakit dada dan terpaksa mengambil ubat secara berterusan.

Kita boleh balik kampung tetapi mulai sekarang, semua mesti guna formula yang diberi oleh pakar-pakar kawalan penyakit berjangkit untuk menghalang virus itu menjangkiti kita.

Formula sebenarnya sudah ada dalam tangan masing-masing. Kalau masih ingin hendak balik kampung semasa hari raya nanti, kena tunggu kes turun dan mendatar. Sebaiknya kes harian di bawah 100, bukannya di bawah 1,000 kes sehari.

Untuk menurunkan kes ini, semua pihak kena berperanan.Jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka, jaga penjarakan fizikal, jangan bersentuhan dan bermacam lagi.

Kita masih ada masa untuk mengamalkan bersama-sama nasihat saintifik ini sekali gus menurunkan jumlah kes harian.

Apabila kes mula menurun dan mendatar, maka bolehlah para pemimpin politik dan pakar kesihatan cadangkan untuk aktiviti balik kampung dan rentas negeri.

 

DR. MUHAMMAD KELANTANI
Bandar Baru Bangi, Selangor

 

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *