Kenapa Kita Takut Dengan Pemimpin Tanpa Aura Yang Sorang Itu?

Kenapa Kita Takut Dengan Pemimpin Tanpa Aura Yang Sorang Itu?

Umno telah pun melabuhkan PAU 2020 dengan keputusan yang tepat dan mengambil hasrat akar umbi yang rata-rata tidak mahu berkerjasama dengan PPBM atas beberapa sebab politik yang merugikan Umno dalam banyak hal.

Kerjasama dengan Perikatan Nasional sehingga Parlimen dibubarkan sahaja. Umno dan Barisan Nasional akan bertanding solo seperti mana ucapan presiden dan keputusan sebulat suara dalam PAU 2020.

Manakala kerjasama dengan Muafakat Nasional masih berjalan dan mahu diperkasakan. Kita doakan itu berlaku kerana itulah harapan rakyat keseluruhanya.

Dalam ucapan wakil Wilayah Persekutuan, Umno dan BN adalah sauh kestabilan politik.

Kestabilan politik tiang seri pada kestabilan sosio ekonomi sesebuah negara.

PPBM tidak boleh menjadi sauh dalam memayungi semua parti politik di negara ini kerana bilangan Ahli Parlimen mereka hanyalah 13 orang dan yang lainnya ialah Ahli-ahli Parlimen dari BN yang melompat ke PPBM.

PPBM cuba melebarkan sayap untuk menjadi sauh dengan pelbagai cara termasuk membeli serta memujuk rayu terutamanya ahli-ahli dari Umno.

Inilah antara punca berlaku keretakan hubungan Umno dan PPBM.

Pada pendapat saya, kini sudah sampai masanya, satu akta bagi menyekat mana-mana Ahli Parlimen yang menang atas tiket parti yang ditanding berpindah ke parti lain dengan sewenang-wenangnya konon atas nama kehendak rakyat.

  • Mana-mana Ahli Parlimen yang melompat ke parti lain secara automatik gugur sebagai Ahli Parlimen dan hilang kelayakan dan tidak ada nilai lagi.
  • Parti asal boleh menamakan penganti bagi kekosongan tersebut tanpa pilihan raya kecil yang menyusahkan rakyat serta kos PRK tersebut.
  • Tiada lagi tawaran-tawaran dari parti baru jika akta lompat ini dilaksanakan kerana Ahli Parlimen yang lompat tadi sudah tiada nilai.

Budaya tidak sihat dan memualkan ini patut segera dihentikan bagi menyuburkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini yang berasakan bilangan bagi menubuhkan sesebuah kerajaan.

Aura

Mohamed Azmin Ali langsung tiada aura. Auranya hanyalah mempengaruhi beberapa Ahli Parlimen untuk lompat ke PPBM saja.

Beliau gagal membawa ribuan ahli PKR berpindah ke parti baru yang dianutinya. Kita tak pernah dengar ribuan ahli PKR keluar parti mengikut Azmin ke PPBM.

Maknanya Azmin tiada aura dan saya yakin beliau akan hilang dalam radar di Parlimen Gombak.

Berbeza dengan Asri Muda tinggalkan PAS, ribuan ahli parti mengikuti dan menubuhkan BERJASA.

Berbeza dengan Tengku Razaleigh Hamzah meninggalkan Umno, ribuan ahli mengikuti beliau dan tertubuhnya Semangat 46.

Berbeza dengan Anwar Ibrahim tersingkir dari Umno, ribuan ahli parti dan rakyat mengikuti beliau dan tertubuhnya PKR.

Berbeza dengan Mohamad Sabu keluar PAS dan menubuhkan Amanah, ribuan ahli mengikuti beliau.

Berbeza dengan Dr Mahathir Mohamad keluar Umno dan bersama ahli parti berjaya menubuhkan PPBM.

Berbeza dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar itu pun berjaya tubukan MUDA.

Mereka semua mempunyai aura tarikan dan beralun-alun mengikuti mereka.

Di mana Azmin? Auranya barangkali di hotel saja.

Apatah lagi pemimpin-pemimpin seperti Hamzah Zainudin, Ahmad Faizal Azumu dan lain-lain dalam PPBM mereka hanya membilang hari untuk dinyahkan oleh rakyat.

Umno masih ada kekeramatannya jika pemimpin Umno masih pedulikan perjuangan. Sememangnya Umno dilahirkan untuk perjuangan bagi membela Bangsa, Agama, dan Negara.

Hidup Umno!

(Penafian : Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan rasmi Portal Naluri Bangsa)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *