Nabila Razali Kesal Ada Rakan Baik Selebriti Seperti “Curah Minyak” Isu Nyanyian Di AJL35

Nabila Razali Kesal Ada Rakan Baik Selebriti Seperti “Curah Minyak” Isu Nyanyian Di AJL35

Nabila Razali kesal apabila ada rakan selebriti yang cukup dikenalinya seperti “mencurah minyak” untuk memanaskan lagi isu kesilapannya ketika menyampaikan Peluang Kedua di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Kata penyanyi itu, sebagai rakan selebriti, mereka sepatutnya memberi semangat, bukan melemahkan lagi orang yang sedang berdepan ujian.

“Bella kesal, tak sangka orang yang cari rezeki dalam bidang sama sanggup berbual benda-benda negatif. Sedangkan kami pernah duduk semeja, saling mengenali namun mereka boleh bersikap sedemikian.

“Itu yang buat Bella terkejut. Bella nak pesan, jangan tambah minyak pada api yang sedang marak. Sebaliknya berilah sedikit semangat untuk membantu, bukannya jatuhkan semangat orang lain,” katanya.

Nabila ditemui di majlis pelancaran kek lapis Sarawak premium jenama Big Mouth X Nabila Razali di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.

Pada majlis sama, Nabila menyampaikan Peluang Kedua secara langsung. Persembahan itu turut mendapat pujian guru vokalnya, Syafinaz Selamat.

Terdahulu, selepas malam AJL35 melabuhkan tirainya, Nabila membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial selepas insiden ‘terkucil’ menyebabkan dia menerima kritikan hebat daripada warganet.

Kata pemilik nama penuh Nur Nabila Mohd Razali itu, sepanjang pengetahuannya, dia tiada musuh atau sebarang isu dengan sesiapa dalam kalangan rakan industri.

Insiden tersebut menurutnya, banyak memberi pengajaran dalam kehidupan dan membuatnya mengenali siapa siapa kawannya yang sebenar.

“Bella rasa tak pernah ada isu dengan orang lain sampai mereka nak ‘bash’ begitu. Mereka kawan atau lawan? Apa Bella mampu buat hanyalah tukar perkara negatif menjadi positif,” katanya.

Pun begitu, Nabila, 28, kembali mengenang pesan ibunya agar cekal berdepan sebarang dugaan kerana itu adalah jalan yang dipilihnya.

“Nak cakap berlatih itu memang ada, dah banyak buat persediaan untuk buat persembahan di pentas besar. Namun, nasib tidak menyebelahi Bella pada malam tu.

“Bella ambil cuti sehari. Tak perlu panjangkan apa yang terjadi. Emak pernah berpesan Bella kena hadapi semua ni sebab ni adalah jalan yang Bella pilih (untuk bergelar penyanyi).

“Namun, Bella tak akan berhenti menyanyi sebab Bella menyanyi untuk diri sendiri dan kedua ibu bapa. Cuma lepas ni Bella kena cari lagu sesuai mengikut kemampuan vokal,” kata penyanyi Langkah Berkeyakinan itu lagi.

Pada masa sama, Nabila mengaku terkilan kontroversi yang menghimpit dirinya itu seolah-olah lebih penting hingga menenggelamkan kemenangan artis lain pada malam AJL35.

“Sebab tu Bella tak ada keluarkan sebarang kenyataan atau respons serta merta sebagai memberi penjelasan kerana tak mahu isu berpanjangan,” katanya. – MKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *