Muhyiddin Tak Jadi PM Lepas PRU15, Umno Dan Pas Akan Cari Orang Lain – Ramal Dr M

Muhyiddin Tak Jadi PM Lepas PRU15, Umno Dan Pas Akan Cari Orang Lain – Ramal Dr M

 

Dr Mahathir Mohamad membayangkan keadaan politik negara selepas pilihan raya umum ke 15 (PRU15) tidak akan berbeza berbanding sekarang.

Jika ada pun yang berubah nanti, ramal Mahathir, Muhyiddin Yassin tidak lagi menjadi perdana menteri semula.

Ahli Parlimen Langkawi itu menjangkakan Bersatu – yang kini sudah menjadi parti berbilang kaum berbanding ketika penubuhannya dulu – tidak menang banyak kerusi di PRU15.

MN akan pilih PM lain

Dengan itu, sekutu Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan gabungan Muafakat Nasional (MN) akan memilih orang lain sebagai perdana menteri.

“Umno dan PAS memberi jawatan perdana menteri kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh menjadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai MN.

“Yang mencukupi bilangan ialah Azmin (Ali) dengan paksinya dari PKR. Secara tidak langsung Azmin diberi jawatan tertinggi tetapi bukan timbalan perdana menteri.

“Keadaan politik selepas PRU15 tidak mungkin berbeza dari sekarang. Tetapi Muhyiddin tidak akan jadi perdana menteri,” katanya dalam hantaran terbaru blognya.

BACA JUGA : Senarai 17 Ahli Parlimen Berumur 70 Tahun Ke Atas Tular…

Pejuang jadi kuasa ketiga

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kata Mahathir diharapkan dapat menjadi kuasa ketiga yang akan menjadi penentu kepada gabungan kerajaan baru nanti.

“Pejuang tidak mungkin jadi kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi kerajaan.

“Sokongan Pejuang (akan diperolehi) hanya jika syarat Pejuang diterima,” tambahnya.

Selepas Langkah Sheraton tahun lalu, Muhyiddin menjadi perdana menteri kelapan melalui pembentukan PN yang dianggotai PAS bersama parti lain, dan disokong ahli parlimen Umno.

Berdasarkan kedudukan kerusi semasa, tidak ada parti yang dapat membentuk kerajaan secara sendiri melainkan menerusi gabungan dengan parti-parti lain.

Jajaran baru politik

Ketika hubungan Umno dan Bersatu ibarat retak menanti belah, cakap-cakap mengenai penjajaran baru kencang diperkatakan, termasuk antara Umno dan PKR.

Permohonan pendaftaran Pejuang bersama satu lagi parti baru, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara (ROS) pada 6 Jan lalu.

Sebelum ini, Muhyiddin menerima kritikan sebahagian pihak kerana dikatakan tidak mempunyai sokongan majoriti yang cukup.

Sesetengah pihak – termasuk Umno sendiri -turut menyelar pentadbirannya yang sehingga kini masih tidak membenarkan Parlimen bersidang atas alasan Covid-19.

Muhyiddin pernah memberi jaminan yang dia akan membubarkan parlimen dan memberi laluan untuk PRU15 sebaik sahaja wabak Covid-19 terkawal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *