Ketua Umno Cabar Azmin Ali Bertanding Di Kerusi Gombak Pada PRU15

Ketua Umno Cabar Azmin Ali Bertanding Di Kerusi Gombak Pada PRU15

 

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali ‘dicabar’ bertanding di kerusi Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam wawancara MMTV, Ketua Bahagian UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau yakin pengundi akan memilih dengan berhati-hati pada PRU-15.

“Memang patutnya Azmin kekal bertanding di Gombak, saya sudah kata tiada sesiapa boleh menghalang beliau kerana saya yakin Azmin akan pertahankan Parlimen Gombak.

“Saya tidak percaya jika orang kata beliau akan bertanding di kawasan lain seperti Kuala Langat dan sebagainya.

“Itu tidak mungkin sama sekali, saya percaya beliau akan bertanding di Gombak namun perkara ini tidak menghalang Barisan Nasional (BN) untuk menamakan calon,” katanya dalam sesi temubual itu.

Megat Zulkarnain juga berkata, pemilihan pemimpin perlu diserahkan kepada pengundi Gombak walaupun pertandingan tersebut berkemungkinan tiga penjuru.

BACA JUGA : Azmin Ali Rayu UMNO Teliti Semula Keputusan Tak Bekerjasama Dengan PPBM

Disember lalu, terdapat pengundi di kawasan Gombak yang memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan melanggar kewajiban fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’.

Tindakan itu menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Menurut Megat Zulkarnain, tindakan pemimpin mengkhianati mandat rakyat akan menjadi punca rakyat lebih berhati-hati dalam memilih semasa pilihan raya.

“Pengundi menjalankan tanggungjawab seperti beratur panjang di bawah panas matahari supaya dapat memilih pemimpin yang mereka Yakini.

“Bayangkan apa perasaan mereka apabila melihat individu yang mendapat kepercayaan itu, keluar daripada kepercayaan.

“Apa pun alasan yang diberikan, maklumat kini di hujung jari maka pengundi tahu punca sebenar ‘penghijrahan’ yang dikatakan itu.

“Pengundi Gombak maklum dan sedar dengan pengkhianatan yang berlaku,” katanya.

Pada PRU-14 yang lalu, Azmin telah meraih kemenangan dengan jumlah undi sebanyak 75,113.

Beliau mengalahkan lawannya daripada BN dan Pas yang masing-masing peroleh sebanyak 26,392 dan 17,537 undi.

Adakah Azmin yang kini merupakan ‘orang kanan’ kepada Perdana Menteri akan terus mengekalkan kedudukannya di kerusi Parlimen Gombak ataupun tidak, hanya kita ketahui ketika PRU-15 nanti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *