Thailand Lancar ‘Dewa Asmara’, Mahu Tingkatkan Kadar Kahwin Dan Kelahiran Segera

Thailand Lancar ‘Dewa Asmara’, Mahu Tingkatkan Kadar Kahwin Dan Kelahiran Segera

 

Thailand melancarkan kempen mencari jodoh selepas kadar kelahiran merosot ke tahap paling rendah iaitu 1.51 anak bagi setiap wanita pada tahun lepas, jauh lebih rendah berbanding penggantian populasi pada kadar 2.1 kelahiran bagi setiap wanita.

 

Biro Kesihatan Reproduktif Thailand akan berperanan sebagai dewa asmara dengan mengadakan perhimpunan mencari jodoh untuk mereka yang masih bujang bertemu cinta sejati.

 

Inisiatif terkini iaitu ‘Marriage for Building Nation’ akan berlangsung pada 14 Mei. Rakyat Thailand mahu pun warga asing dipelawa mendaftar dan pendaftaran kini dibuka sehingga 31 Mac.

 

Maklumat lanjut mengenai aktiviti itu boleh didapati di https://www.wiwahproject.com/RPH/Register.aspx

 

Inisiatif itu adalah bagi menggalakkan kadar kelahiran di Thailand dan menangani masalah populasi menua yang begitu pantas berlaku.

 

Sementara itu, data menunjukkan Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) Thailand merosot kepada 1.51 anak bagi setiap kelahiran atau di bawah 600,000 bayi baharu lahir pada 2020.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perubatan Reproduktif di Kolej Diraja Thailand bagi Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Kamthorn Pruksananonda berkata, kadar kelahiran di negara itu pada tahun lepas ialah 5.1 serta telah merosot secara mendadak kepada 1.5.

 

“Kadar ini dijangka terus menurun kepada 1.3 dalam tempoh kurang sedekad,” katanya.

 

Kamthorn juga berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kadar kelahiran rendah di negara itu termasuk mendapatkan konsultasi ketidaksuburan pada umur purata 38 tahun yang dianggap sudah terlewat.

 

“Pada usia tersebut, peluang seorang wanita untuk melahirkan seorang bayi dengan sindrom Down adalah tinggi,” katanya.

 

Merujuk contoh, beliau berkata, di Jepun dan Eropah, umur purata wanita yang mendapatkan nasihat perubatan bagi masalah ketidaksuburan ialah 32 tahun.

 

Bagi meningkatkan kadar kelahiran di negara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Sathit Pitutecha berkata, kerajaan akan menyediakan bantuan kesuburan selain menawarkan faedah lain kepada pasangan yang ingin memiliki bayi.

 

“Kami perlu memiliki sekurang-kurangnya 1.5 kelahiran bagi setiap wanita untuk menggantikan populasi, jika tidak akan wujud populasi menua yang besar pada masa akan datang,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *